X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M dakwa rakyat takut bersuara darurat tak perlu

Dr Mahathir - Foto Fail Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ramai pihak takut untuk menyatakan pandangan mereka mengenai proklamasi darurat yang dilaksanakan pada Januari lepas.

Beliau berkata, ramai yang berpendapat pelaksanaan tersebut tidak perlu dengan alasan tertentu tetapi mereka tidak berani berterus-terang.

“Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling mereka.

“Dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, ada yang menolak apabila diminta menandatangani surat rayuan bagi menarik balik pengisytiharan darurat.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata, ada yang bimbang kerana kerajaan berupaya mengenakan tindakan kepada pihak yang terlibat.

Menurutnya, walaupun sudah menjelaskan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat demikian, namun mereka masih tidak tenteram.

“Denda sebanyak RM5 juta dan penjara 10 tahun. Tidak boleh dapat perlindungan undang-undang,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19 pada 12 Januari lepas.

Dr Mahathir berpendapat Malaysia tidak perlu diletakkan di bawah darurat berikutan kerajaan mempunyai kuasa mencukupi untuk membendung wabak jangkitan tersebut.

Jelasnya, kerajaan boleh menangani penularan pandemik berkenaan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, justeru proklamasi darurat tidak diperlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak perlu darurat, kerajaan ada kuasa kawal Covid-19: Tun M


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!