Zulkifli tegur agensi urus kewangan

Zulkifli menyampaikan amanat dalam perhimpunan bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Isnin.
Zulkifli menyampaikan amanat dalam perhimpunan bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur agensi di bawahnya agar mengurus kewangan dengan cekap, bersih dan amanah tanpa kepincangan.

Zulkifli menegaskan beliau tidak mahu lagi ada mana-mana 13 agensi di bawahnya mendapat teguran daripada Ketua Audit Negara menerusi Laporan Audit.

"Saya amat terkesan apabila membaca Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkenaan pengagihan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Cukuplah itu menjadi laporan terakhir yang mendapat teguran audit oleh mana-mana agensi di bawah saya," katanya dalam ucapan sempena perhimpunan agensi di bawah jabatan itu.

Perhimpunan itu disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube pada Isnin.

Menurutnya, sebagai agensi agama, setiap transaksi kewangan wajib diurus dengan amanah dan menepati prosedur kewangan yang ditetapkan.

"Jangan sampai kredibiliti kita tercalar disebabkan kepincangan. Urusan kewangan amat dipandang berat oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM1.4 bilion peruntukan yang diperoleh tahun ini perlu dibelanjakan dengan cekap dan mengikut perancangan.

Artikel Berkaitan:

"Hari pertama semasa mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minta belanja, habiskan duit.

"Kita perlu belanja mengikut apa yang dirancang," katanya.

Zulkifli berkata, beliau menaruh harapan supaya peruntukan tersebut dapat diselesaikan pada Jun tanpa sebarang masalah seperti pemulangan semula.

"Saya telah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan mesyuarat kewangan bersama agensi pada setiap bulan untuk mengetahui kedudukan terkini kewangan dan sejauh mana ia telah dibelanjakan," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji pengurusan kewangan oleh Lembaga Tabung Haji.

"Tahniah diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji, yang mana saya difahamkan Laporan Kewangan Tabung Haji bagi tahun 2019 adalah bersih daripada sebarang teguran Ketua Audit Negara," katanya.

Dalam perhimpunan yang dijalankan secara dalam talian itu, Zulkifli turut menyenaraikan beberapa kejayaan yang dicapai agensinya pada tahun 2020.

Ia termasuklah program Musa’adah Covid-19 yang dilancarkan pada 18 Mac tahun lalu.

"Sehingga Disember 2020, sebanyak RM363.5 juta telah diagihkan bagi tujuan membantu mereka yang terkesan disebabkan oleh wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, jumlah yang besar dalam tempoh singkat itu melambangkan komitmen jabatan itu kepada kebajikan rakyat.

"Sewajarnya orang ramai tahu ke mana wang mereka melalui zakat, infak dan lain-lain disalurkan.

"Inilah yang dinamakan impak sosial. Tahniah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Jabatan Wakaf, zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan seluruh agensi atas usaha keras," katanya.

Selain itu, kutipan zakat fitrah oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) melonjak sehingga 1100 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

"Ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah iaitu 11 peratus bagi kutipan zakat pendapatan oleh PPZ yang berjumlah RM756 juta," katanya.