X

Kindly register in order to view this article
!

Empat parah nahas babit empat kenderaan

Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 401 Lebuhraya PLUS di sini pada Ahad.
A
A

HULU SELANGOR - Empat lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 401 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.20 malam.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah treler muatan jentera berat, dua lori dan sebuah van keselamatan," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Arsad berkata, kemalangan berlaku ketika sebuah lori dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Perak telah mengubah haluan ke lorong kanan dari lorong kiri untuk memotong sebuah treler.

"Sebuah van dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar belakang lori serta treler berkenaan.

"Treler itu juga tidak sempat mengelak dan melanggar belakang sebuah lori lain yang sedang berhenti di lorong kecemasan," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa berusia 30 hingga 56 tahun itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Slim River Perak untuk menerima rawatan.

"Kes kemalangan ini masih dalam siasatan lanjut, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Sabrina Abd Rashid di talian 013 4666088," katanya.

Arsad memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!