Perhebat kempen rasuah di sekolah

Mohd Hanafiah Ismail
Mohd Hanafiah Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Nilai amanah dan integriti dalam masyarakat harus ditanam sejak awal persekolahan bagi melahirkan generasi bebas rasuah.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, oleh itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat memperhebatkan lagi kempen kesedaran rasuah di peringkat sekolah rendah.

Menurutnya, beliau percaya pendedahan awal secara berterusan tentang keburukan rasuah dapat menjauhkan masyarakat daripada kesalahan berkenaan.

“Boleh buat kempen macam jihad perangi dadah yang dilaksanakan oleh polis, mereka masuk ke sekolah beri penerangan kepada pelajar. Jelaskan kepada mereka rasuah bukan saja salah di sisi undang-undang, malah agama juga.

“Ini merupakan satu permulaan untuk kita didik anak-anak kita perangi rasuah secara total selain pendidikan di rumah sendiri iaitu kita sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menyifatkan rasuah sebagai jenayah yang mampu menghancurkan negara, Mohd Hanafiah turut menyokong kempen Sinar Rasuah Busters yang dicetuskan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Mohd Hanafiah berkata, beliau bimbang rasuah akan kekal menjadi satu budaya biasa dalam masyarakat tidak kira apa juga bidang sekiranya tidak dibendung dari sekarang.

“Ini satu kebaikan buat generasi akan datang, kita mahu mereka sedar rasuah ini membawa mudarat. Jangan jadikan ‘duit kopi’ atau hadiah sebagai budaya sebaliknya buat dengan ikhlas tanpa harapkan habuan.

Artikel Berkaitan:

“Sama-sama kita terapkan integriti kepada ahli keluarga masing-masing. Usaha ini bukan kita mahu ambil peranan SPRM atau pihak berkuasa tapi bekerjasama banteras rasuah dalam negara kita,” katanya.