Terengganu digesa segerakan bantuan kecemasan pendidikan

Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri digesa melaksanakan bantuan kecemasan pendidikan dengan permulaan bantuan sekurang-kurangnya sebuah tablet bagi keluarga yang memiliki dua pelajar.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, kriteria penerima juga boleh mengikut keutamaan seperti keluarga B40, calon peperiksaan utama atau pelajar kawasan luar bandar.

"Pemuda UMNO Terengganu peka dengan keluhan ramai ibu bapa yang mengadu tidak mampu menyediakan tablet, komputer riba ataupun sekurang-kurangnya telefon pintar bagi menggerakkan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di kediaman masing-masing.

"Kekangan ini melibatkan keluarga yang memiliki dua atau lebih anak yang masih bersekolah. Secara asasnya, seorang pelajar sememangnya memerlukan satu tablet bagi memastikan setiap modul yang diajar tidak ketinggalan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh mengambil langkah menangguhkan dahulu beberapa projek pembinaan bagi membolehkan peruntukan kecemasan ini disalurkan.

Katanya, peruntukan kecemasan ini boleh diperoleh dengan kuasa penuh bawah Ordinan Darurat ketika ini dengan membuat sedikit pindaan terhadap beberapa item di dalam Belanjawan 2021 Terengganu yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tahun lalu.

"Sebagai contoh, peruntukan untuk infrastruktur pendidikan seperti pembinaan dua buah sekolah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) ataupun projek menaik taraf Kolej Al-Quran Terengganu boleh ditangguhkan sementara dan dipindahkan peruntukan tersebut kepada bantuan kecemasan pendidikan Terengganu.

"Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera juga boleh berperanan sebagai peruntukan utama dalam menangani isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya jumlah keseluruhan RM50 juta ini sekurang-kurangnya membantu sebahagian besar pelajar sekolah seramai 150,000 orang ataupun 65 peratus yang mana akan memberi impak yang baik terhadap pendidikan Terengganu pada 2021," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya bersedia memainkan peranan untuk berkongsi pengalaman menguruskan eBook iaitu komputer riba buku elektronik yang telah dilaksanakan sejak 2009 yang menelan belanja RM18 juta hingga RM20 juta setahun.

Katanya, program yang dimulakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said itu telah dimanfaatkan oleh sebahagian besar pelajar sekolah rendah ketika itu.

"Sistem yang dimuat turun di dalam eBook Terengganu juga mengikut silibus pendidikan negara dan ianya bermanfaat untuk pelajar," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut menyokong saranan agar kerajaan mengambil tindakan segera menangani isu sama melibatkan 4.7 juta murid di 10,220 sekolah yang masih belum memiliki kemudahan pembelajaran persendirian.

"Kita juga bersetuju dengan cadangan agar disegerakan pemberian 150,000 buah komputer riba kepada pelajar terjejas kerana ianya telah diluluskan pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen baru-baru ini," katanya.