Projek korek pasir dapat kelulusan Pejabat Tanah

Kerja tanah yang dijalankan disalah satu kawasan di Sungai Pusu.
Kerja tanah yang dijalankan disalah satu kawasan di Sungai Pusu.
A
A
A

GOMBAK - [LAPORAN KHAS] Aktiviti pengorekan pasir di atas tanah dianggarkan seluas 4.6 hektar milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini mendapat kebenaran daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.

Pegawai Daerah Gombak, Shukri Mohamad Hamin berkata, ia dikendalikan sebuah syarikat milik penuh UIAM susulan banjir besar pada Jun 2014 yang mengakibatkan kawasan kampus universiti terbabit dinaiki air sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta benda.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati aliran sungai yang mengalir ke kawasan UIAM tidak mencapai kedalamannya untuk menampung aliran air yang banyak dari kawasan sekitar.

“Selain itu, lokasi UIAM berada di kawasan lembah dan berbukit.

“Sehubungan itu, pihak kami akan berhubung dengan kontraktor itu pada minggu ini untuk mencadangkan agar dibuat penyelenggaraan kedalaman sungai dalam UIAM ini secara berkala bagi mengelakkan kejadian banjir berulang pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan di lapangan mendapati tiada projek pengorekan pasir dilakukan di luar kawasan UIAM seperti didakwa penduduk.

“Sebenarnya kontraktor ini beroperasi di luar pagar kampus, tetapi lokasinya masih dalam tanah UIAM.

“Penduduk mungkin kurang faham kedudukan sebenar tanah itu,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi aktiviti penambakan tanah pula, beliau berkata, kerja tersebut dilakukan di tanah hak milik persendirian iaitu di luar sempadan tanah UIAM.

“Pihak kami akan berhubung dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi memaklumkan perkara tersebut untuk semakan kerja-kerja tanah dan tindakan selanjutnya,” kata Shukri.