X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Orang asli Bateq makin bijak

Penduduk orang asli suku Bateq hanya membawa keperluan asas antaranya seperti periuk, pisau, beras, garam, gula dan pakaian untuk digunakan sepanjang perpindahan ke dalam hutan.
A
A

BELAJAR daripada pengalaman lalu, masyarakat orang asli suku Bateq di Gua Musang, Kelantan tidak lagi menyembunyikan diri di dalam hutan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Tok Penghulu Kampung Orang Asli Aring 5, Raina Anjang berkata, masyarakat orang asli Bateq kini lebih faham mengenai Covid-19 dan cara untuk menjaga keselamatan diri daripada dijangkiti virus tersebut.

“Sekarang kita dapat maklumat penuh tentang Covid-19. Kali pertama dulu penduduk kampung orang asli suku Bateq di Aring 5, Pasir Linggi dan Kuala Koh bersembunyi di dalam hutan kerana takut dan tidak tahu bagaimana berdepan dengan virus Covid-19,” kata Raina kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, susulan pelaksanaan PKP di Kelantan bermula 16 Januari lalu, penduduk kampung di sini dinasihati mengehadkan pergerakan keluar masuk kampung bagi mengelakkan risiko membawa masuk jangkitan dari luar.

“Selain kekal di dalam kampung, penduduk juga diingatkan untuk menjaga SOP dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak,” katanya lagi.

Menurut Raina, sepanjang PKP kali ini, penduduk kampung menjalankan aktiviti harian seperti biasa misalnya pergi ke kebun dan mencari hasil hutan. Selain itu katanya, tiada sesi persekolahan untuk anak-anak kampung di Aring 5 kecuali untuk yang berada di Tingkatan 5.

Sementara itu, penduduk Kampung Orang Asli Aring 5, Mohd Fazli Mamok, 34, mengakui, masyarakat Bateq mengalami trauma ketika kali pertama berdepan Covid-19, namun kini bertambah baik.

“Dulu memang trauma maklumlah penyakit yang kita tidak pernah dengar tetapi sekarang keadaan sudah baik,” katanya.

Tambah Mohd Fazli yang juga guru agama di Kampung Orang Asli Aring 5, kelas pembelajaran terpaksa dihentikan sementara waktu dalam tempoh PKP dan majoriti penduduk kampung banyak menghabiskan masa menjalani rutin harian terutamanya berkebun.

Terdahulu, pada bulan Oktober 2020, Sinar Harian menerusi slot laporan khas, berkongsi kisah bagaimana masyarakat orang asli suku Bateq di Gua Musang mengkuaratinkan diri di hutan selama hampir dua bulan akibat pandemik Covid-19.

Laporan khas itu juga dimuatkan dalam bentuk video dokumentari berdurasi 39 minit, bertajuk Yak Kan Putus Asak iaitu perkataan dalam bahasa Bateq yang membawa maksud tidak akan berputus asa.

Video dokumentari itu boleh ditonton di akaun rasmi Sinar Harian di YouTube.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!