Hutang lambat langsai jika lanjut moratorium

Lanjutan pelaksanaan moratorium tidak bersasar pada kadar berpanjangan dikhuatiri menyebabkan tempoh pembayaran hutang individu bertambah.
Lanjutan pelaksanaan moratorium tidak bersasar pada kadar berpanjangan dikhuatiri menyebabkan tempoh pembayaran hutang individu bertambah.
A
A
A

SHAH ALAM – Lanjutan pelaksanaan moratorium tidak bersasar pada kadar berpanjangan dikhuatiri menyebabkan tempoh pembayaran hutang individu bertambah.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, justeru hanya golongan memerlukan sahaja layak menerima moratorium secara bersasar.

“Bagi yang amat memerlukan disebabkan bencana Covid-19 atau banjir sememangnya wajar diberikan dan perkara itu telah dibuktikan apabila beberapa bank mengumumkan program moratorium bersasar sehingga Jun 2021.

“Bagi yang terkesan dan mahu mendapatkan penangguhan pembayaran hutang, mereka hanya perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berkenaan pengurusan hutang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, perbuatan menangguhkan hutang sekiranya tiada keperluan merugikan kerana lambat untuk membebaskan diri daripada hutang.

“Keadaan orang yang bebas hutang dan masih berhutang adalah amat berbeza sama sekali, baik dari segi kedudukan kewangan atau psikologi.

“Selain itu, penangguhan pembiayaan kenderaan akan menyebabkan seseorang itu terpaksa membayar lebih sekiranya mahu bertukar kereta baharu disebabkan hutang masih tertunggak.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga dengan pinjaman perumahan, sekiranya mereka mahu menjual rumah yang masih belum langsai hutangnya, maka keuntungan daripada hasil jualan rumah tersebut akan berkurangan,” katanya.

Ditanya sama ada bank tidak bersedia untuk melaksanakan moratorium tidak bersasar, Mohd Afzanizam berpendapat, ia bukan soal bank bersedia atau tidak kerana kedudukan kewangan bank sentiasa dipantau oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

“Justeru, isu moratorium perlu dilihat secara meluas dari segi kesannya. Persoalan pokok adalah kita mahu memberi bantuan bersasar kepada yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berpendapat, pelaksanaan semula moratorium tidak bersasar dikhuatiri menjejaskan aliran kewangan perbankan.“Kedudukan kewangan institusi perbankan ketika ini baik serta kukuh dan boleh memberikan moratorium.

“Tetapi sekiranya moratorium tidak bersasar dilaksanakan pada kadar berpanjangan, dikhuatiri proses aliran tunai terganggu sekali gus memberikan kesan kepada pihak bank,” katanya.