‘Ketepikan dahulu untung’

Selain hospital kerajaan, hospital swasta perlu memainkan peranan memastikan kos ujian berada pada tahap yang mampu ditanggung oleh masyarakat. Gambar kecil: Sukhdave Singh.
Selain hospital kerajaan, hospital swasta perlu memainkan peranan memastikan kos ujian berada pada tahap yang mampu ditanggung oleh masyarakat. Gambar kecil: Sukhdave Singh.
A
A
A

PIHAK yang terlibat melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 disaran mengetepikan aspek keuntungan dan memadai dengan hanya mengenakan kos ujian.

Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, dengan cara itu kos ujian dapat diminimumkan agar lebih ramai mampu menjalani ujian tersebut.

Menurutnya, saringan awal juga akan membantu dalam mengurangkan jangkitan.

“Sekiranya ramai dapat melakukan ujian pengesanan Covid-19 maka lebih ramai dapat menjalani fasa kuarantin dan ini seterusnya dapat mengurangkan jangkitan.

“Pihak kerajaan disarankan agar melaksanakan kawalan harga sekiranya pihak hospital swasta tetap mengenakan caj yang tinggi untuk ujian Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai keluhan masyarakat berhubung kos menjalani ujian Covid-19 yang agak tinggi khususnya bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat melalui Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Beliau berkata, dalam hal itu juga hospital swasta perlu memainkan peranan memastikan kos ujian berada pada tahap yang mampu ditanggung oleh masyarakat.

“Jangan hanya memilih untuk membuka ruang kepada golongan yang berada sahaja ataupun mereka yang mempunyai perlindungan insurans,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, segenap lapisan masyarakat perlu berganding bahu menghadapi satu cabaran paling kritikal dalam memerangi wabak Covid-19.

“Masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada pihak kerajaan tetapi perlu berganding bahu secara menyeluruh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan mengambil langkah perlu seperti yang disarankan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil beberapa pendekatan baharu bagi mengurangkan kesesakan sistem kesihatan awam akibat peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Antaranya, KKM tidak lagi melakukan ujian terhadap setiap individu yang dikenal pasti sebagai kontak dengan pesakit positif Covid-19 sebaliknya, hanya kontak rapat yang telah menunjukkan gejala virus berkenaan akan diuji.