X

Kindly register in order to view this article
!

Apabila rumah jadi pejabat

Pihak industri wajib melaksanakan amalan bekerja dari rumah bagi kakitangan kumpulan pengurusan dan penyeliaan, dan hanya 10 peratus daripada kumpulan tersebut boleh berada di pejabat. Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A

PADA 1930, ahli ekonomi, John Maynard Keynes pernah meramalkan jumlah waktu bekerja akan berkurangan kepada hanya 15 jam seminggu kerana teknologi menjadikan pekerja lebih produktif.

Bagaimanapun, tahun 2020 telah merubah ramalan itu dan bagaimana bekerja jarak jauh dari pejabat atau model kerja hibrid menjadi norma baharu bagi sebahagian besar pekerja dan majikan di seluruh dunia berikutan ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi.

Bekerja dari rumah atau work from home (WFH) mula menjadi trend untuk tempoh jangka panjang sejak awal 2020 walaupun pada awalnya ia turut mencetuskan ‘kejutan budaya’ terhadap perusahaan tradisional.

Tanpa kita sedar, pandemik Covid-19 telah membuktikan model kerja hibrid bukan perkara mustahil untuk kebanyakan sektor yang sebelum ini memerlukan kehadiran pekerja di pejabat.

Ketika norma lama mula lenyap secara beransur-ansur, para pekerja mula menyesuaikan diri dengan cara bekerja yang lebih memerlukan penggunaan teknologi seperti mesyuarat secara maya melalui aplikasi Zoom dan Skype serta menyelesaikan tugas atau urusan menggunakan e-mel.

Syarikat gergasi seperti Twitter dan Facebook antara yang terawal membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah malah Google serta Amazon juga dikatakan sudah mengguna pakai model kerja hibrid sejak beberapa tahun lalu.

Menurut kaji selidik Global Workplace Analytics yang dijalankan terhadap pekerja di bawah model kerja hibrid, sebanyak 73 peratus mendakwa ‘sangat berjaya’ manakala 86 peratus berasa sangat produktif apabila bekerja jarak jauh dari pejabat.

Selain itu, 76 peratus daripada 3,000 responden juga mahu meneruskan bekerja dari rumah secara purata sekurang-kurangnya 2.5 sehari pada setiap minggu.

Ketika dunia memasuki fasa yang menjadikan vaksinasi Covid-19 sebagai keutamaan pada 2021, kebanyakan sektor turut bergelut untuk menjadikan WFH sebagai pilihan tetap untuk pekerja masing-masing.

Ia mungkin sukar dan mencabar bagi sektor perkhidmatan dan syarikat pembuatan atau perkilangan yang memerlukan jentera khusus untuk terus beroperasi.

Laporan McKinsey Global Institute yang menganalisis 2,000 tugas, 800 pekerjaan dan sembilan negara mendapati lebih satu daripada lima tenaga kerja dapat beroperasi secara jarak jauh selama tiga hingga lima hari seminggu yang sama efektif ketika bekerja di pejabat.

Pakar perubatan meramalkan ekonomi dunia dan kehidupan masyarakat dunia akan kembali normal pada 2022 yang mungkin akan menyebabkan model kerja hibrid akan diteruskan sehingga ancaman pandemik itu benar-benar terkawal.

Walaupun bekerja jarak jauh dari pejabat boleh menjadikan pekerja lebih fleksibel, efisien dan lebih selamat daripada ancaman wabak itu, ia didakwa turut memberi kesan buruk kepada kesihatan mental individu akibat kekurangan berinteraksi.

“WFH boleh menyebabkan individu berada dalam situasi ‘terasing’ daripada masyarakat dan berasa kesepian. Bekerja di pejabat sekurang-kurangnya membolehkan individu berhubung antara satu sama lain,” kata Profesor Psikiatri dan Farmakologi di University of Toronto, Roger McIntyre.

Kenyataan beliau berdasarkan laporan dikeluarkan Indeks Kesihatan Mental untuk pekerja di Kanada yang merosot pada paras terendah pada bulan lalu malah penemuan mereka juga menunjukkan penurunan produktiviti di tempat kerja dengan 27 peratus penyelia melaporkan kakitangan mereka kurang produktif berbanding pada 2019. Pengalaman

Tanpa kita sedar, Covid-19 sebenarnya telah mencetuskan ‘eksperimen bekerja jarak jauh dari pejabat’ terbesar dalam sejarah manusia.

Penulis juga akhirnya dapat merasai pengalaman WFH pada tahun ini selepas team print yang pada mulanya bimbang akan berdepan kesukaran untuk proses memberi arahan, suntingan dan paling utama mematuhi deadline jika bekerja jarak jauh dari pejabat.

Apa yang menariknya, kami tidak menggunakan aplikasi seperti Zoom atau Skype sebaliknya hanya berkomunikasi melalui ‘group WFH’ di aplikasi WhatsApp yang sememangnya jauh lebih mudah dan cepat.

Cuma masing-masing perlu sentiasa alert jika ada arahan baharu atau membabitkan sebarang pertukaran page yang dibuat last minute.

Kadangkala penulis tersenyum sendiri membaca mesej antara team page editor dan team grafik terutamanya apabila sudah hampir deadline. Masing-masing mula ‘riuh-rendah’ walaupun hanya dalam WhatsApp.

Namun baru dua minggu WFH, penulis dah mula rindu dengan suasana gamat dek suara dan gelak tawa rakan-rakan di pejabat.

*Lissa Kamal ialah wartawan Meja Global


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!