'Rasuah untuk ‘hidup’

Desakan hidup akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan menjadi punca ramai yang sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.
Desakan hidup akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan menjadi punca ramai yang sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.
A
A
A

ALOR SETAR- Desakan hidup akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan menjadi punca ramai yang sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, itu antara alasan yang seringkali diberi dan perkara tersebut dilihat agak ketara berlaku di bandar-bandar utama di negara ini.

Menurutnya, peningkatan kos sara hidup yang tinggi sehingga menyempitkan lagi pendapatan membuatkan masyarakat sanggup terlibat dengan korupsi.

“Selagi masalah kehidupan rakyat tidak ditangani dan selagi kebajikan mereka tidak terjaga, maka untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan amalan yang boleh merosakkan negara seperti rasuah tidak dapat dielakkan.

“Kesempitan hidup boleh membuatkan manusia terpaksa mencari atau menggunakan jalan yang salah.

“Apabila seseorang itu berbelanja tinggi, dia terpaksa berhutang kerana pendapatannya kecil. Maka akhirnya dia akan mengambil rasuah untuk membayar hutangnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apa usaha awal yang perlu dilakukan dalam memusnahkan budaya rasuah di negara ini.

Tegasnya, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada barisan hadapan keselamatan negara seperti pihak berkuasa dengan mengkaji semula gaji dan elaun khas mereka.

Artikel Berkaitan:

“Bagi yang berkhidmat di negeri seperti Kedah dengan gaji sekitar RM2,500, mereka boleh meneruskan kehidupan dengan baik tetapi jika dengan jumlah gaji tersebut dan berkhidmat di ibu negara tentu agak sukar,” katanya.

Katanya, satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan untuk mengkaji semula gaji agensi pihak berkuasa di negara ini agar selaras dengan kos taraf hidup.

“Kebajikan barisan hadapan perlu diberi perhatian agar mereka dapat bekerja dengan baik tanpa diganggu anasir luar. Kemudahan tempat tinggal dan elaun khas perlu disemak kembali,” katanya.