Pemimpin fasik hancurkan negara

Negeri dan negara boleh musnah disebabkan kefasikan atau kedurhakaan tindakan segelintir manusia yang mempunyai kuasa dan harta.
Negeri dan negara boleh musnah disebabkan kefasikan atau kedurhakaan tindakan segelintir manusia yang mempunyai kuasa dan harta.
A
A
A

WALAUPUN ALLAH SWT boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Dalam hal ini, termasuk jika Dia menghendaki untuk menghancurkan suatu negeri.

Hakikat itu sesuai dengan firman-Nya: (ALLAH) Maha Kuasa berbuat apa yang Dia kehendaki. (Al-Buruuj/85: 16) ; Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya “Kun Fa Yakun.”Jadilah, maka terjadilah ia. (Yaasiin/36: 82).

Namun demikian sudah menjadi sunnah atau ketetapan ALLAH bahawa segala sesuatu berlaku mesti berdasarkan hukum sebab musabbab atau hukum sebab akibat. Inilah sunnah ALLAH yang tidak akan berubah-ubah. Hakikat itu sesuai dengan firman-Nya: Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah ALLAH, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah ALLAH itu. (Faatir/35: 43)Lalu timbul pertanyaan: Bagaimanakah Sunnah ALLAH jika Dia ingin menghancurkan sesuatu negari? Apakah secara tiba-tiba Dia hancurkan suatu negeri tanpa sebab ?

Dalam hal itu, ALLAH SWT tidak menghancurkan sesebuah negara secara tiba-tiba. Sunnah atau ketentuan ALLAH dalam hal ini tidak demikian. Tetapi cara ALLAH SWT menghancurkan sesuatu negeri ialah dengan menyuruh orang-orang yang hidup mewah dalam negeri tersebut agar taat dan patuh kepada-Nya. Sayangnya orang-orang yang hidup mewah berbuat sebaliknya. Mereka telah berbuat fasik atau durhaka kepada ALLAH.

Hakikat itu tercantum dengan jelas dalam firman-Nya: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati ALLAH) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. (Al-Israa’/15: 16)

Semakin mewah semakin banyak maksiat yang mereka lakukan. Malah dengan berani berbuat zalim terhadap orang awam seperti melakukan rasuah, mengambil harta rakyat sesuka hati dengan pelbagai alasan, berbelanja secara mewah untuk kepentingan diri dan anak pinak sendiri tanpa malu.

Mengapa dalam ayat itu ALLAH SWT memerintahkan secara khusus orang-orang yang hidup mewah saja agar taat dan patuh kepada-Nya? Mengapa ALLAH SWT tidak menyebut hamba-hamba-Nya yang fakir miskin?Para mufassirin menjawab: Rahsia atau hikmah disebut khas orang-orang yang hidup mewah dalam ayat itu kerana dosa yang dilakukan oleh golongan yang hidup mewah lebih besar dampak dan implikasinya jika dibandingkan dengan dosa orang miskin.

Dengan kemewahan yang mereka miliki, mereka mampu melakukan dosa seperti berjudi, minum arak, berzina dan lain-lain. Apalagi jika golongan mewah mempunyai kedudukan. Mereka boleh atur sekehendaknya dengan memberi arahan kepada pihak tertentu seperti mahkamah, penjara, polis dan lain-lain sehingga jenayah yang mereka lakukan itu tidak diambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa pemerasan

Sementara golongan marhaen tidak akan mampu melakukan hal itu semua. Siapalah mereka? Mereka tidak mampu melakukan itu semua. Malah mereka sentiasa menjadi mangsa pemerasan dan tindakan undang-undang walaupun hanya melakukan jenayah rasuah beberapa ribu ringgit.

Negeri dan negara boleh musnah disebabkan kefasikan atau kedurhakaan tindakan segelintir manusia yang mempunyai kuasa dan harta. Sila renung kisah Firaun dan Qarun di dalam al-Quran. Firaun dan kaumnya dibinasakan oleh ALLAH kerana penyalahgunaan kuasa, sedangkan Qarun pula binasa kerana hartanya.

Oleh sebab itu, para pemimpin wajib tadabbur atau menghayati isi kandungan al-Quran. Sungguh banyak kisah dalam al-Quran yang menceritakan tentang kemusnahan umat terdahulu disebabkan kafasikan atau kedurhakaan mereka terhadap ajaran ALLAH yang dibawa oleh Rasul masing-masing, padahal mereka kaum yang gagah dan banyak harta kekayaannya.

Hendaknya setiap kita khasnya para pemimpin dan golongan yang hidup mewah insaf dan sentiasa ingat bahawa setiap kita akan berhadapan dengan ALLAH kelak setelah hari kiamat. Semuanya akan diadili di dalam mahkamah Ilahi dengan seadil-adilnya tanpa sedikit pun dizalimi.

Sikap dan tindak-tanduk kita ketika di dunia sangat menentukan keadaan kita di alam akhirat, apakah layak masuk syurga atau neraka. Di alam akhirat kita sudah tidak ada kuasa dan harta lagi untuk dibanggakan. Yang paling berperanan pada hari itu adalah Hakimnya iaitu ALLAH SWT dan saksi yang akan dirujuk oleh ALLAH adalah Nabi Muhammad SAW.

Selagi hayat dikandung badan maka bersegeralah bertaubat kepada ALLAH dan lakukan apa saja kegiatan sesuai dengan kehendak ALLAH. Jadikanlah Nabi Muhammad SAW sebagai role model atau panduan kita dalam bersikap dan perbuatan sebab semua aktiviti kita akan dirujuk oleh ALLAH kepada Baginda SAW.

Atas dasar itu Rasulullah SAW bersabda: Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara. Jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, maka kamu pasti tidak sesat untuk selamanya iaitu: al-Quran dan sunnahku. (HR Imam Malik di dalam kitabnya Al-Muwatta’ – Sahih menurut Syaikh Al-Albaniy).