Mengharap panas hingga ke petang

A
A
A

SIAPA sahaja yang melangkah ke tahun 2021 tentu mengharap setinggi gunung akan kehidupan kembali kepada suasana sebelum virus pandemik tercetus.

Malangnya, hakikat kehidupan kadangkala tidak berpihak kepada kita, malah saban hari virus pandemik ini terus mencengkam dan mendera fizikal, mental dan emosi semua. Nikmat kehidupan dan kebebasan seolah-olah telah direntap dan dirampas. Kita semua terkurung di kediaman masing-masing seperti di dalam penjara.

Tiada siapa pernah menjangka setelah 63 tahun negara merdeka dan melalui pelbagai arus pemodenan, tahun 2020 yang dahulunya diuarkan-uarkan sebagai titik mula Malaysia maju dengan acuannya sendiri mencatatkan sejarah hitam tidak terpadam.

Kita berharap panas hingga ke petang, rupanya hujan pandemik di tengah hari datang menyerang. Keterbatasan pergerakan dan aktiviti sosial, gangguan aktiviti harian seperti pengajaran dan pembelajaran, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan serta kerja tanpa henti dalam kalangan petugas barisan hadapan kini menjadi santapan harian yang menyesakkan dada dan menimbulkan stres tidak terkawal.

Stres harus wujud dalam kehidupan kerana tanpanya organisma di muka bumi bagaikan mayat hidup, tetapi pada kadar yang minimum. Ia boleh merangsang kreativiti, menggalakkan ketekunan dan meningkatkan prestasi. Melaluinya, kita pasti berupaya meningkatkan kapasiti mental dan mempelajari strategi daya tindak mengurus stres tatkala berdepan dengan cabaran kehidupan seperti pandemik.

Antara strategi daya tindak mendepani stres adalah berfikiran positif. Fikiran positif perlu menjadi kemudi kehidupan. Tanpanya, individu selalu berdepan dengan masalah yang menyekat pembangunan diri. Fikiran positif bakal melahirkan aura diri yang lebih berkeyakinan dan berupaya melihat peluang dan ruang penambahbaikan. Kajian psikologi mengesahkan bahawa fikiran positif akan menyebabkan persekitaran bertukar menjadi positif juga.

Pengurusan masa yang baik dan perancangan tugas yang tuntas juga adalah satu strategi daya tindak mengurus stres. Ia membantu kita mengoptimumkan masa sama ada untuk bekerja atau bersosial. Ramai pihak menjadikan sekatan pergerakan dan komunikasi bersemuka semasa pandemik sebagai kambing hitam akibat kegagalan mereka mencapai prestasi cemerlang, walaupun masih kedapatan individu lain yang mampu terbang tinggi pada masa yang sama. Jadi di mana silapnya?

Pergerakan dan hubungan sosial yang terbatas sewaktu pandemik sebenarnya memberi banyak peluang kepada individu untuk lebih tekun menyelesaikan tugas dan aktiviti. Bagaimanapun, masa produktif masih boleh hilang kerana ia dicuri oleh pelbagai aplikasi media sosial. Justeru, peraturan penggunaan alat peranti yang lebih jelas diperlukan agar individu kekal produktif.

Mengurus kemarahan juga merupakan strategi daya tindak yang diperlukan ketika mendepani pandemik. Kemarahan membawa kepada tingkah laku di bawah sedar atau luar kawal. Ia menjadi semakin serius jika individu melalui pengalaman buruk, masalah kewangan dan isu rumah tangga.

Justeru, kemahiran mengurus kemarahan adalah penting.Meminimumkan tahap stres semasa berdepan pandemik adalah penting demi kelangsungan hidup di tahun 2021. Oleh itu, ia harus dikekang melalui strategi daya tindak yang tepat supaya fokus membendung virus pandemik berjaya dilakukan.

Pemahaman yang jelas tentang stres juga diperlukan untuk kita berjaya mengharungi kesakitan akibat ranjau virus pandemik. Jika hal ini mampu direalisasikan, adalah tidak mustahil Malaysia mampu melihat mentari bersinar hingga ke petang.

* Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel Berkaitan: