Kerajaan perlu jawab dakwaan penutupan sektor ekonomi

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mendesak kerajaan menjawab dengan segera dakwaan bahawa sektor ekonomi akan ditutup sepenuhnya selepas 4 Februari depan seperti yang dilaporkan portal berita pada Ahad.

Beliau berkata, jika perkara tersebut tidak benar, kerajaan perlu menafikannya.

"Tetapi jika benar, kerajaan perlu berterus terang dengan rakyat. Berikan masa yang mencukupi untuk bersiap sedia jika memang ada niat mahu melaksana 'lockdown' yang lebih ketat.

"Kita tak minta untuk tahu seluruh butiran mesyuarat atau setiap perbezaan pandangan antara agensi atau kementerian. Itu hal dalaman kerajaan yang telah dipertanggungjawab.

"Yang kita mahu adalah ketetapan rasmi dan strategi jelas yang mampu meyakinkan segenap pihak. Rakyat, pekerja dan majikan, semuanya mahu kepastian bukan kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan beberapa portal berita pada Ahad yang mendakwa Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (Eurocham Malaysia) dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan satu ‘complete economic shutdown' selepas 4 Februari nanti jika kes harian Covid-19 masih tinggi.

Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan kerana kenapa MITI memberi info kepada Eurocham terlebih dahulu.

"Kenapa MITI beri info berkenaan pengesyoran KKM? Bukankah sepatutnya rahsia terutamanya jika ia hanya pengesyoran dan belum lagi keputusan?

Artikel Berkaitan:

"Kemudian setelah 'bocor', di manakah penjelasan rasmi kerajaan kepada rakyat?" soalnya.

Shahril Sufian berkata, khabar seperti itu yang disampaikan oleh pihak lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tambahan katanya, kes harian positif Covid-19 mencecah angka 4,275 pada Sabtu iaitu angka paling tinggi semenjak penularan.

"Hari ini (Ahad) kes masih tinggi pada paras 3,346," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: EuroCham Malaysia nafi kerajaan akan laksana 'total lockdown'

Surat Eurocham: Penutupan penuh ekonomi jika kes Covid-19 tak turun