X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

Perginya ikon legenda dunia penyiaran tersohor Amerika

King pernah menerima anugerah Peabody Award for Excellence atas pencapaian terhebat beliau dalam program TV dan radio. - Foto: Agensi
A
A

NEW YORK - Dunia penyiaran Amerika Syarikat (AS) kehilangan seorang ikon legenda selepas pemergian Larry King pada usia 87 tahun pada Sabtu disahkan oleh rangkaian TV digital diasaskan secara bersama oleh beliau, Ora Media.

Sepanjang kerjayanya selama enam dekad termasuk menjadi hos program miliknya, Larry King Live disiarkan CNN selama lebih 25 tahun, beliau yang mempunyai aura luar biasa telah mewawancara sejumlah besar selebriti, atlet, ikon perniagaan dan ahli politik terkenal. Malah turut mewawancara penjenayah serta ahli teori konspirasi yang dikaitkan dengan kontroversi.

Ketika popularitinya berada di kemuncak, program Larry King Live yang memaparkan gaya bersahaja dan spontan beliau pernah mencapai 1.5 juta tontonan untuk tempoh satu malam dan ketika episod terakhir pada 2010, ia pernah diiktiraf Rekod Dunia Guinness sebagai rancangan paling lama dikendalikan hos yang sama.

Menurut CNN, King telah melakukan lebih 50,000 wawancara selama 50 tahun termasuk bual bicara eksklusif bersama bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat serta pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama, pengasas Microsoft, Bill Gates dan bekas Perdana Menteri wanita pertama United Kingdom (UK), Margaret Thatcher.

Larry King atau nama sebenarnya Lawrence Harvey Zeiger dilahirkan di Brooklyn, New York pada 19 November 1933.

Selepas kematian bapanya, King yang baru tamat pengajian di sekolah tinggi bekerja selama beberapa tahun untuk menyara ibunya sebelum beliau menyedari minatnya menjurus kepada bidang penyiaran.Ketika berusia awal 20-an, beliau kemudiannya berpindah ke Florida dan bekerja di sebuah stesen radio dengan menggunakan nama komersial Larry King.

Populariti King semakin menyerlah dalam bidang penyiaran tempatan pada 1950-an dan 1960-an.

Menjelang 1978, beliau diberi peluang menjadi hos program radio, The Larry King sebelum melebarkan lagi sayapnya ke CNN pada 1985.

Selepas memutuskan untuk bersara daripada CNN, King masih meneruskan wawancara di laman web miliknya dan menjadi hos Larry King Now.

Kehidupan peribadi King juga mencuri tumpuan ramai apabila beliau pernah berkahwin sebanyak lapan kali dan mengahwini semula salah seorang bekas isterinya.

Hasil perkahwinannya, beliau dikurniakan lima cahaya mata, sembilan cucu dan empat cicit.

Sejak beberapa tahun lalu, King dikatakan mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk diabetes tahap dua dan serangan jantung malah beliau turut menjalani pembedahan untuk merawat barah paru-paru yang dialaminya.

Pada 2019, serangan strok telah menyebabkan King berada dalam keadaan koma selama beberapa minggu.

Pada awal bulan lalu, beliau dimasukkan ke Cedars-Sinai Medical Center di Los Angeles untuk menerima rawatan akibat jangkitan Covid-19, namun butiran tentang punca sebenar kematiannya tidak didedahkan. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!