'Bukan kami tak mahu bantu'

Pasukan Perak dilaporkan menghadapi masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi bulan November dan Disember tahun lalu
Pasukan Perak dilaporkan menghadapi masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi bulan November dan Disember tahun lalu
A
A
A

KERAJAAN Negeri Perak sedang berusaha untuk menyalurkan dana kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang kini dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya berdepan kekangan masa untuk menyalurkan dana kepada PAFA.

”Sebenarnya kami memang sedang berusaha keras untuk membantu kewangan PAFA ini, tetapi kerana ia melibatkan jumlah kewangan yang besar ia turut melibatkan pelbagai proses tambahan pula pada hujung tahun di mana banyak pihak yang menutup akaun dan sebagainya. Itu yang ambil masa.

“Lagi pun, kami sebenarnya tak tahu secara rasmi masalah PAFA ini sebab mereka pun tidak berurusan dengan kami. Bukan sebab kami sengaja tak mahu bantu PAFA,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, bekas Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan persatuan itu mengalami masalah kewangan selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak sejak 5 Disember lalu.

Malah Ahmad Faizal turut mendakwa kerajaan negeri tidak mahu memberikan dana sekiranya beliau masih menjawat jawatan tersebut sekali gus beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh Khairul Shahril dengan menyifatkan perkara yang diperkatakan Ahmad Faizal itu tidak benar.

“Kami nafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau yang mengatakan tidak membantu PAFA disebabkan beliau ada di situ (menjadi Presiden PAFA). Itu memang kami nafikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PAFA difahamkan berdepan tunggakan gaji berjumlah RM3.8 juta selama sebulan setengah melibatkan gaji dan elaun pemain dan pegawai November dan Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Khairul Shahril turut memberitahu pihaknya terkejut dengan tindakan Ahmad Faizal dan Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan perletakan jawatan masing-masing serta merta baru-baru ini.

“Kami terkejut bila beliau umumkan untuk meletak jawatan baru-baru ini dan saya juga telah memanggil ketiga-tiga Naib Presiden PAFA untuk berbincang lanjut mengenai urusan PAFA, Isnin ini,” katanya.