Remaja maut langgar lari

Keadaan mangsa yang terbabit dalam nahas dipercayai langgar lari di Batu 10 Jalan Kerian, Semanggol pada Ahad. Foto: Pembaca
Keadaan mangsa yang terbabit dalam nahas dipercayai langgar lari di Batu 10 Jalan Kerian, Semanggol pada Ahad. Foto: Pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan langgar lari di Batu 10, Jalan Kerian, Semanggol di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, J Guhanesh, 17, mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Taiping selepas lebih tiga jam menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki dalam perjalanan ke pekan Semanggol sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

"Berdasarkan siasatan awal, kenderaan yang belum dikenalpasti itu hilang kawalan dan masuk ke lorong digunakan mangsa mengakibatkan pelanggaran berlaku. Ini berdasarkan kesan serpihan di laluan motosikal berkenaan.

"Sebaik pelanggaran berlaku, pemandu kenderaan itu telah lari meninggalkan lokasi kejadian dan sehingga kini, tiada laporan dibuat," katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

"Siasatan awal yang dijalankan di bawah kesalahan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda kepada Seksyen 41(1) akta yang sama," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada maklumat awam, kenderaan terlibat merupakan sebuah kereta jenis Proton Saga, namun nombor pendaftaran belum dikenal pasti," katanya.