MARiiKerja sedia peluang pekerjaan

Datuk Madani Sahari
Datuk Madani Sahari
A
A
A

CYBERJAYA - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), memperkenalkan laman sesawang MARiiKerja (mariikerja.my) iaitu sebuah platform pencarian kerja khususnya dalam industri sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan dengan pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, MARiiKerja merupakan satu langkah berterusan kerajaan dalam mendigitalisasikan proses memperoleh pekerjaan dan memasuki program latihan MARii.

“Laman sesawang ini menjadi lokasi sehenti bagi mendapatkan informasi mengenai program yang ditawarkan, sekali gus mengurangkan prosedur permohonan.

“Platform MARiiKerja menggunakan antara muka (interface) yang direka khas bagi membolehkan pencari kerja mendaftarkan diri secara atas talian dengan lebih mudah, pantas dan sistematik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebagai permulaan, platform digital ini menawarkan jaminan pekerjaan dalam sektor tersebut khusus kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lepasan industri kemahiran melalui Program Industry-Led Professional Certificate (IPC).

Menurut Madani, IPC yang mula diperkenalkan MARii sejak tahun 2012 merupakan program pembangunan modal insan yang dirangkum bersama pihak industri dengan IPC menghasilkan tenaga kerja mahir melalui modul khusus serta latihan di tempat kerja.

“Walaupun negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), platform ini membolehkan usaha menjana peluang pekerjaan baharu diteruskan sekali gus memastikan kelestarian bekalan tenaga kerja yang sentiasa diperlukan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Melalui program IPC, kita telah melahirkan lebih 33,000 graduan latihan dan program ini terus mendapat sokongan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai inisiatif bagi meningkatkan kadar kemahiran dan membasmi pengangguran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sepanjang program ini, tiada yuran dikenakan dan semua perbelanjaan sara hidup merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum akan ditanggung sepenuhnya.

Elaun bulanan dan perlindungan insurans turut disediakan untuk pelatih sepanjang tempoh latihan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.mariikerja.my/.