Tingkatkan keselamatan di kawasan penghadang tembok konkrit

Antara penghadang tembok konkrit yang dipasang ketika sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antara penghadang tembok konkrit yang dipasang ketika sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa pihak berkuasa melaksanakan langkah keselamatan yang sewajarnya jika mahu memasang penghadang tembok konkrit ketika sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, antaranya ialah meletakkan tanda amaran, memasang lampu dan hebahan kepada penduduk tempatan bagi mengelakkan risiko kemalangan selain memudahkan mereka mencari jalan alternatif.

Katanya, polis memasang tembok penghadang konkrit bagi memudahkan mereka melakukan penguatkuasaan sepanjang PKP.

"Bagaimanapun ia tidak sepatutnya menyusahkan rakyat terutama penduduk tempatan sehingga berlaku kemalangan dan kecederaan.

"Perkara ini sudah tentu menimbulkan kemarahan penduduk. Jika langkah keselamatan diambil dengan sewajarnya sudah tentu penduduk akur kerana ia bertujuan mencegah penularan Covid-19," katanya yang sempat melawat mangsa kemalangan, Mohd Asri Ismail di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada Ahad.

Adnan (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Kesatuan Pembantu Perawatan Kesihatan Semenanjung Malaysia semasa melawat Mohd Asri di HSAH di sini pada Ahad.
Adnan (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Kesatuan Pembantu Perawatan Kesihatan Semenanjung Malaysia semasa melawat Mohd Asri di HSAH di sini pada Ahad.

Adnan juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menambah baik langkah keselamatan di kawasan yang diletakkan penghadang jalan raya konkrit bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

"Penduduk tempatan boleh membuat aduan atau bantahan kepada pihak berkuasa jika tindakan meletakkan penghadang jalan raya konkrit itu boleh menimbulkan masalah keselamatan serta menyukarkan aktiviti harian mereka.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu mendengar aduan penduduk supaya langkah penambahbaikan dapat dilakukan. Kadang-kadang ada aduan yang perlu diberi perhatian tetapi tidak diketahui kerana penduduk tidak membuat aduan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi semalam, Mohd Asri, 43, yang juga kakitangan HSAH cedera parah selepas motosikal Yamaha LC yang ditunggang dalam perjalanan ke tempat kerja merempuh tembok penghadang jalan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil di sini.