Selangor agih 40,000 kad sim menjelang Mac

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BATU CAVES - Kerajaan Selangor akan mengagihkan sebanyak 40,000 kad sim untuk kegunaan pembelajaran dan perniagaan menjelang Mac depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut sedang dalam perbincangan mengenai pakej plan dengan syarikat telekomunikasi terlibat sebelum proses agihan dilakukan.

Menurutnya, ia salah satu inisiatif kerajaan negeri membantu pelajar kurang kemampuan dan luar bandar mendapat akses internet bagi mengikuti kelas secara dalam talian semasa Covid-19.

“Kerajaan negeri mempunyai program rakan digital yang akan diselaraskan dengan pihak daerah.

“Selain itu, kita juga mempunyai program data untuk rakyat Selangor melalui pemberian kad sim untuk kawasan tertentu yang akan dilihat secara keseluruhan,” katanya ketika meninjau pusat agihan bakul makanan di padang awam Batu Caves di sini pada Ahad.

Amirudin
Amirudin

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sekitar 60 hingga 70 peratus kawasan di Selangor sudah mencapai akses internet tahap berkapasiti tinggi.

“Kalau termasuk kategori cooper atau 2G, sudah 90 peratus kawasan sehingga ke Sabak Bernam mencapai tahap itu.

Artikel Berkaitan:

“Sekurang-kurangnya rakyat boleh dapat akses untuk terima teks (mesej), tapi kalau libatkan video perlukan akses yang lebih tinggi.

“Kerajaan negeri bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan SmartSel akan akan lihat perkara itu. Dijangkakan Sabak Bernam mencapai tahap akses liputan penuh menjelang tahun 2022,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya yakin Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga sedang menggerakkan bantuan penyediaan keperluan belajar termasuk gajet kepada pelajar memerlukan.

“Saya tahu keperluan gajet ini penting tetapi tidak berguna jika tiada liputan internet.

“Namun saya yakin pusat khidmat sedang membantu. Di Gombak sahaja sudah ada 100 permohonan diterima. Kita akan bantu ikut peruntukan pusat khidmat,” katanya.