Pecah masuk kilang: Seorang ditahan, tiga lagi diburu polis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan masih memburu tiga lagi yang disyaki terlibat dalam kejadian memecah masuk sebuah kilang di kawasan Desa Idaman Senai di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di kilang terbabit kira-kira jam 2 petang.

“Ketika tiba di lokasi itu, anggota cawangan dan risikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mendapati pintu kilang dalam keadaan terbuka dan terdapat sekumpulan lelaki sedang meleraikan komponen besi.

“Kumpulan lelaki itu melarikan diri ke arah belakang premis berkenaan selepas anggota polis memperkenalkan diri namun polis berjaya menahan seorang daripada mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beng Yeow berkata, hasil daripada serbuan tersebut, polis berjaya merampas empat telefon bimbit, 43 keping komponen besi, satu pemotong besi, 16 keping mata pemotong besi, satu tong gas, satu generator, satu spanar boleh laras, satu rantai kunci, sebuah van dan dua buah kereta.

Katanya, susulan serbuan tersebut, satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki kira- kira jam 4.35 petang pada Sabtu memaklumkan tiga pendingin hawa dan sebuah lori di kilang terbabit didapati hilang.

"Hasil soal siasat suspek mengaku terlibat bersama tiga lagi rakannya.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah selain memiliki 12 rekod berkaitan jenayah serta penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek kini direman selama enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kilang dan Seksyen 379 (A) kanun sama kerana mencuri kenderaan motor.