Kaki judi laga ayam bertempiaran lari kena serbu

17
17
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan kaki judi laga ayam bertempiaran lari selepas lokasi perjudian dalam kawasan belukar di Segambut Dalam digempur polis pada Ahad.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Ana Mohamed berkata, operasi kira-kira jam 3.45 petang itu membabitkan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menurutnya, seramai 54 lelaki termasuk 46 warga Indonesia berusia 19 hingga 60 tahun disyaki pemain judi berjaya diberkas.

"Ada antara mereka cuba terjun di kawasan tebing tinggi selain melarikan diri kira-kira 100 meter dari lokasi serbuan.

"Polis percaya mereka penduduk setempat yang tinggal di sekitar kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian di lokasi serbuan pada Ahad.

18
18

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi turut menemui peralatan judi bola golek.

Mengulas lanjut, Ana berkata, judi laga ayam itu dipercayai melibatkan pertaruhan sekitar RM50 hingga RM2,000 namun tiada penganjur dari luar kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, soal siasat mendapati kawasan yang turut menempatkan tempat menyimpan dan membela ayam laga itu beroperasi sejak enam bulan lalu dan menjadi tumpuan khususnya pada hari cuti umum, Sabtu dan Ahad.

"Sebanyak 25 ekor ayam selain wang tunai telah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Tegasnya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Brickfields dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.