X

Kindly register in order to view this article
!

Pertimbang operasi masjid, surau operasi seperti biasa

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diharap dapat mempertimbangkan operasi masjid dan surau seperti biasa dengan memperluaskan jumlah kehadiran jemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, walaupun kes Covid-19 menunjukkan peningkatan pada masa ini namun pihaknya yakin setiap jemaah akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, pertimbangan itu wajar kerana operasi di pusat beli-belah dan beberapa aktiviti lain masih dibenarkan dalam tempoh PKP.

"Sepatutnya, masjid lebih menjadi tempat tumpuan untuk kita dekat dengan ALLAH supaya lebih banyak rahmat akan turun dan moga wabak Covid-19 ini juga dapat diangkat," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrulrazi berkata, aspek kekangan petugas juga tidak menjadi masalah kerana setiap masjid atau surau mempunyai jawatankuasa yang boleh membantu bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.

Menurutnya, agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menyediakan SOP yang lebih kemas bagi memastikan masjid dapat beroperasi semula semaksimum mungkin.

"Saya bimbang sekiranya masjid atau surau masih tidak dikunjungi, tindakan kita ini akan menjadi satu budaya sehingga masyarakat sudah tidak kisah jika tidak ke masjid," katanya.

Sebelum ini, JAIS menetapkan solat fardu berjemaah di semua 425 masjid dan 2,025 surau di Selangor ditangguhkan sehingga permakluman baharu dibuat mengenainya dari masa ke masa.

Ketika ini hanya lima orang jawatankuasa dibenarkan untuk bertugas dan mendirikan solat fardu di masjid dan surau.

Baru-baru ini, kerajaan Negeri Sembilan turut membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu di Negeri Sembilan sepanjang tempoh dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!