Covid-19: 3,346 kes baharu, 4,427 kes sembuh direkodkan

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pesakit sembuh daripada Covid-19 di negara ini mencatat jumlah tertinggi pada Ahad dengan 4,427 kes, sekali gus mengatasi bilangan kes baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 41,677 kes berbanding 42,769 kes pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu juga menurun namun kekal empat angka iaitu 3,346 orang, manakala sembilan lagi kluster baharu dilaporkan termasuk lapan kluster penularan di tempat kerja.

“Selangor melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 950 kes, selain Sabah (431), Kuala Lumpur (390), Johor (378), Sarawak (255), Terengganu (179), Negeri Sembilan (160) dan Melaka (152).

“Pulau Pinang dengan 90 kes, manakala Kedah pula mencatat 85 kes, selain Kelantan (77 kes), Pahang (63 kes), Labuan (49 kes), Perak (46 kes), Putrajaya (38 kes) dan Perlis merekodkan hanya tiga kes,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di sini pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 11 lagi kematian dilaporkan pada Ahad melibatkan 10 warga tempatan dan seorang rakyat asing.

Sementara itu, katanya, terdapat 265 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai sembilan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, hanya satu daripadanya melibatkan kluster pusat tahanan iaitu Kluster Tembok Taiping di Perak yang mencatatkan 42 kes positif, manakala selebihnya membabitkan kluster di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kluster di tempat kerja melibatkan masing-masing dua di Sabah dan Johor dan masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Sabah, Kluster Ladang Segama dengan 22 kes positif dan Kluster Jalan Segama (20 kes) di Johor, Kluster Jalan Tengar (lapan kes) dan Kluster Keluli Tujuh (21 kes) manakala Kluster Jalan Sebelah di Selangor (83 kes).

“Kluster Bukit Emas di Negeri Sembilan dengan 46 kes positif, Kluster Tapak Bina Sri Petaling di Kuala Lumpur (44) dan Kluster Tapak Bina Flora di Putrajaya (13),” katanya. - Bernama