'Sikap Hamzah tidak sedikitpun memeranjatkan'

 A Kadir Jasin
A Kadir Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan pengasas Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam afidavit terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilaporkan sebuah portal pada Ahad tidak sedikit pun memeranjatkan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin berkata, beliau menyifatkan sikap sedemikian merupakan 'gelagat samsengan kerajaan tebuk atap'.

"Ini hanyalah salah satu daripada contoh 'peras ugut' dan taktik samsengan kerajaan yang difatwakan dan direstui oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai 'kerajaan tebuk atap'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa, Hamzah menyarankan beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Rakyat atau tidak mengundi melawan kerajaan sebagai syarat meluluskan permohonan pendaftaran Muda.

Syed Saddiq turut mendakwa, Hamzah memberitahunya bahawa permohonan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) sahaja tidak cukup sebaliknya perlu menulis kepada menteri itu untuk merayu.

Sementara itu, A Kadir secara sinis bertanya jika Hamzah merupakan strategis dan 'playmaker' nombor satu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, apakah senjata digunakannya terhadap musuh senior seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila terpaksa menggunakan taktik samsengan.

"Dalam konteks saman dan aduan sivil seperti dibuat oleh Syed Saddiq, inilah kehakiman boleh membuktikan kepada masyarakat umum bahawa ia bebas dan akan bertindak 'without fear and favour'.

"Dalam konteks inilah jugalah saya melihat pentingnya arahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun supaya mana-mana kes yang dimohon oleh mana-mana pihak untuk didengar berasaskan sebab-sebab khas dan keadaan luar biasa perlu diberi keutamaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam nada sama, A Kadir berharap pemindahan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada mahkamah jenayah ke mahkamah sivil tidak mengandungi apa-apa unsur mencurigakan kerana seorang hakim berwibawa boleh melakukan kebaikan tidak kira di mahkamah jenayah atau sivil.

"Berbalik kepada kerajaan PN, kalau ia yakin bahawa ia adalah kerajaan yang sah dan mengiktiraf kedaulatan undang-undang, ia tidak akan menghalang pendaftaran Muda, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan mana-mana juga parti politik baharu," katanya.