X

Kindly register in order to view this article
!

Rebut jawatan PM ketika ini kerja mengarut, kata Hadi

Abdul Hadi - Foto fail Bernama
A
A

SHAH ALAM – Tindakan berebut jawatan Perdana Menteri tidak wajar berlaku pada masa ini, tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, ia membuktikan ketidakprihatinan segelintir pihak terhadap langkah-langkah menangani wabak Covid-19.

“Perkara yang tak patut kita buat pada masa ini ialah berbalah berkaitan siapa nak jadi Perdana Menteri atau nak lantik siapa Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa miliki jumlah kerusi mencukupi bentuk kerajaan

Muhyiddin perlu akur hilang majoriti, kata Mujahid

Henti polemik politik, tumpu bantu rakyat: Pemuda UMNO

“Suasana hari ini dengan pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat, masih lagi ada yang nak berbahas berkenaan itu, kononnya cukup undi parlimen untuk mengubah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi webinar bertajuk 'Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?' anjuran Gerakan Pembela Ummah, pada Ahad.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebarang percubaan untuk cuba mengganggu pelaksanaan darurat dalam usaha kerajaan mengawal penularan Covid-19, perlu ditangani dengan ketegasan.

“Ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat. Perkara ini mesti ditolak dan dicegah.

“Apa sahaja langkah-langkah yang boleh mengganggu kerja untuk membantu rakyat semasa darurat ini mesti ditangani dengan peraturan yang tegas,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, proklamasi darurat adalah langkah kerajaan yang tepat pada masanya dan tidak perlu dicurigai kerana melibatkan keselamatan rakyat yang menjadi keutamaan.

“Kalau kita berbalik kepada Islam, kita akan dapati bahawa perkara ini semua terdapat di dalam ajaran Islam.

“Dengan sebab itu jangan ragu, syak dan was-was untuk bertindak dalam masa darurat ini sebagai sebuah kerajaan, demi maslahat kita semua yang diperintahkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mendakwa mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan perkara berkenaan perlu menunggu atas ihsan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat makluman berikutnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!