Tiada lagi syarikat baharu dikesan terlibat kartel daging

Pendedahan Sinar Harian sebelum ini berkaitan kes kartel daging.
Pendedahan Sinar Harian sebelum ini berkaitan kes kartel daging.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketegasan penguatkuasaan kerajaan dalam menangani isu kartel daging yang dibongkarkan Sinar Harian mencapai kejayaan apabila tiada lagi syarikat terbaharu dikesan melakukan kesalahan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tegas itu memberi pengajaran kepada pihak tertentu supaya tidak melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan berterusan dilakukan dari semasa ke semasa oleh kerajaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sehingga ke hari ini selepas pendakwaan yang terakhir terhadap satu syarikat terlibat dengan pemalsuan logo halal, kita mendapati belum ada lagi syarikat atau penemuan baharu yang bertindak sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Sindiket kartel palsu jenama daging hanya libatkan satu syarikat

Kartel daging calar imej Malaysia hub halal dunia

Kerajaan digesa dedahkan dalang kartel daging

Artikel Berkaitan:

“Barangkali sudah memberi pengajaran dengan penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ahmad Marzuk (dua dari kanan) bersama Che Mohd Rahim (kanan) ketika penyerahan sumbangan Inspirasi Musaadah Covid- 19 YaPEIM (Foodbank 2.0) Negeri Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad Marzuk (dua dari kanan) bersama Che Mohd Rahim (kanan) ketika penyerahan sumbangan Inspirasi Musaadah Covid- 19 YaPEIM (Foodbank 2.0) Negeri Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada Ahad.

Terdahulu beliau menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan Inspirasi Musaadah Covid-19 YaPEIM (Foodbank 2.0) Negeri Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita dalam operasi yang diketuai KPDNHEP.

Pada penghujung Disember lalu, sebuah syarikat pembekal daging dan dua pengarah syarikat terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor kerana menggunakan logo halal tanpa diperakui sebagai halal.