X

Kindly register in order to view this article
!

Beri alasan nak beli ikan salmon

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal (dua dari kiri) memeriksa dokumen yang diberikan penunggang motosikal di sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Petaling Jaya dalam Program Warn and Sweep pada Ahad. Foto - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

PETALING JAYA - "Nak keluar beli salmon. Salmon di sini tak sama yang kami sekeluarga makan." Itu antara alasan pengguna jalan raya ketika ditahan anggota penguat kuasa semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Surian di sini pada Ahad.

Bukan itu sahaja, malah ada yang memberikan alasan untuk membeli makanan untuk adik dan saudara mara.

Bagaimanapun, alasan berkenaan dilihat tidak kukuh dan mereka kemudian diarahkan berpatah balik oleh anggota polis yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelbagai alasan yang diberikan oleh pengguna jalan raya ketika melalui SJR di daerah ini.

"Ada yang memberikan alasan kerja. Bila kita telefon pejabat mereka, rupanya mereka tidak bekerja. Akhirnya individu tersebut meminta maaf.

"Malah ada juga yang memberikan alasan hendak membeli barangan keperluan sedangkan kawasan mereka ada pasar raya dan kemudahan untuk membeli barangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas SJR dalam Program Warn and Sweep di Persiaran Surian di sini pada Ahad.

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan yang diambil oleh pihaknya sedikit berbeza berbanding sebelum ini.

"Jika ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kita mengadakan 15 SJR, namun sepanjang PKP kali ini, kita mengadakan sembilan SJR. Selainnya adalah dalam bentuk 'mobile' atau bergerak sekitar kawasan Petaling Jaya.

"Untuk jumlah tindakan yang diambil sepanjang PKP ini, sebanyak 394 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 35 tangkapan dilakukan atas pelanggaran SOP.

"Saya tidak mahu memberikan dari sudut peratusan kepatuhan SOP, namun apa yang boleh saya katakan, ia harus dipertingkatkan lagi," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dalam memastikan usaha mengurangkan lengkungan jangkitan Covid-19 berhasil.

"Saya merayu agar orang ramai terus kekal berada di rumah. Marilah kita bersama mengurangkan lengkungan jangkitan Covid-19 ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!