Pinda akta bukan diskriminasi LGBT tetapi untuk selamatkan negara

Ahmad Marzuk (kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad Marzuk (kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil penerima di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan tidak membenci atau mendiskriminasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), bagaimanapun undang-undang lebih keras diperlukan untuk menyelamatkan negara daripada kemurkaan ALLAH SWT.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, dua perkara iaitu menukar jantina dan kandungan media sosial berkaitan segala bentuk perkara bertentangan dengan jantina serta seumpamanya akan dimasukkan dalam pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) nanti.

Menurutnya, perubahan berkenaan sebenarnya selari dengan undang-undang Syariah dan ia amat sesuai dengan perubahan masa dan keadaan semasa setelah lebih 30 tahun tidak dipinda.

“Sekarang ini perbuatan sumbang dan tidak senonoh boleh berlaku melalui media sosial yang tidak ada kawalan ketat berbanding media arus perdana.

“Jadi, undang-undang pun kita kena sesuaikan dengan keadaan sekarang. Dari segi undang-undang sivil dah banyak dipinda untuk selari dan selaraskan dengan peredaran zaman.

“Begitu juga dengan undang-undang syariah ini kita akan proses untuk pindaan apabila sampai masanya supaya selari dengan peredaran zaman,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Terdahulu beliau menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan Inspirasi Musaadah Covid-19 YaPEIM (Foodbank 2.0) Negeri Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang di sini.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, meskipun terdapat pelbagai kritikan terhadap usaha pelaksanaan pindaan Akta 355 itu, namun kerajaan tetap akan meneruskannya selepas Parlimen dibenarkan bersidang nanti.

Artikel Berkaitan:

“Segala benda yang baik kalau kita tanya pada pencuri, dia tidak akan setuju untuk kita pinda undang-undang. Tanya pada perompak pun tak setuju, tapi undang-undang tetap akan dilaksanakan.

“Positifnya masyarakat secara umum yang memahami soal normal dan nilai-nilai murni, soal keagamaan mereka menyokong tindakan yang kita buat tetapi kita tahu bahawa dalam mana-mana tempat sekalipun, di negara mana pun ada kumpulan yang liberal.

“Kumpulan yang cuba untuk bercakap di atas alasan hak kemanusiaan, tetapi apa yang kita buat ini jauh lebih membawa kepada kebaikan dan juga membawa kepada kelestarian jaminan masa depan kepada anak cucu cicit kita,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sedia pinda undang-undang tangani LGBT

Mak nyah bebas di media sosial

Beliau berkata, dengan apa yang dilaksanakan, kerajaan bukan menzahirkan kebencian kepada golongan LGBT, bahkan masyarakat juga boleh membezakan kecenderungan ke arah golongan berkenaan mahupun seseorang itu adalah semula jadi begitu.

“Kita tahu perkara tersebut sangat dilarang dalam agama. Kita kena selamatkan negara kita daripada kumpulan ini yang dalam sudut agamanya boleh mengundang bala dan kemurkaan ALLAH SWT.

“Tidak timbul soal diskriminasi. Kita lebih sayang, ambil berat, lebih simpati golongan seperti ini. Sebab itu kita membuat perancangan lebih komprehensif dari sudut undang-undang, penguatkuasaan dan pemulihan.

"Kita buat sebaik yang mungkin untuk selamatkan mereka dan rakyat negara ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Yadim sokong usaha pemerkasaan undang-undang tangani isu LGBT

Kerajaan perlu sokongan semua tangani LGBT: Idris