Undang-undang jenayah syariah perlu dipinda lebih tegas

Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) meminta kerajaan-kerajaan negeri meminda undang-undang jenayah syariah dengan lebih tegas bagi mengekang dan membanteras perbuatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Naib Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, hukuman sedia ada sememangnya tidak mampu untuk mengawal dan membanteras perbuatan songsang tersebut.

Beliau berkata, hukuman yang dikenakan itu juga tidak mampu menginsafkan tingkah laku pelaku.

“Sehingga kini, undang-undang syariah sedia ada sama ada melalui Akta Kesalahan Jenayah Syariah atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak memberikan satu hukuman yang mampu menginsafkan pelaku.

“Ini mungkin akibat batas kuasa hukuman jenayah syariah yang diikat formula 356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355.

“Oleh itu, hukuman sedia ada tidak mampu mengawal dan membanteras perbuatan songsang ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook DPPM pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya turut menyambut baik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary bahawa kerajaan sedia meminda undang-undang jenayah syariah bagi mencapai hasrat tersebut.

“Bagaimanapun, usaha ini harus disambut oleh negeri memandangkan kuasa jenayah syariah adalah di bawah kuasa negeri berdasarkan Butiran 1, Senarai Negeri dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Afnan berkata, pihaknya mencadangkan supaya aspek-aspek lain turut diambil kira dalam menambah baik undang-undang tersebut.

Sebagai contoh, katanya, mekanisme pengawalan dan hukuman perlu dilihat dalam sistem komunikasi melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sebahagian aktivis LGBT tidak segan silu menyebarkan dakyah dan fahaman mereka melalui media sosial, malah mempromosikan budaya ini sehingga menyebabkan orang awam terdedah dengan dakyah dan perbuatan songsang.

“Ini adalah suatu perkara tidak sihat dan boleh merosakkan generasi kita,” katanya.

Tegas beliau, cadangan tersebut bukanlah bermaksud pihaknya membenci individu yang terlibat dalam LGBT sebaliknya perbuatan songsang tersebut harus ditegah dan dilawan.

“Kita menerima mereka sebagai insan yang tidak lari daripada salah silap dan dosa.

“Justeru, kami sedia dan sudi membantu golongan ini yang ingin kembali ke pangkal jalan dengan tangan terbuka. Semoga ALLAH SWT terus melimpahkan hidayah-Nya di negara penuh barakah ini,” katanya.