Surat Eurocham: Penutupan penuh ekonomi jika kes Covid-19 tak turun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan dijangka menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi selepas 4 Februari depan jika PKP 2.0 yang sedang dilaksanakan sekarang gagal mengekang penularan Covid-19.

Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada anggotanya.

Menurut EuroCham, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Lokman Hakim Ali ketika bermesyuarat bersama EuroCham.

"Beliau (Lokman) memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.

"Sebanyak 99 kluster Covid-19 di Malaysia berkait dengan sektor pembuatan dan KKM percaya sektor ini antara punca utama kepada jangkitan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut EuroCham berkata, sektor pembinaan turut dikategorikan sebagai punca penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas kerana ia bukan di bawah bidang kuasa Miti.

"Miti merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan untuk berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan bagii memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut EuroCham, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Miti untuk menggariskan beberapa langkah memandangkan asrama pekerja dan aktiviti berkaitan seperti pengangkutan dan sosial dikenal pasti sebagai punca masalah.

Katanya, syarikat dalam sektor berkenaan akan melantik sekurang-kurangnya seorang wakil daripada bahagian sumber manusia untuk menyelaras pekerja dan pekerja asing di asrama bagi mengurangkan pergerakan dan aktiviti sosial.

"Syarikat perlu bertanggungjawab terhadap pengurusan pekerja asing atau perumahan mereka yang dilantik melalui agensi.

"Ada kes membabitkan keadaan rumah teruk dan pengangkutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan kadar jangkitan meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, EuroCham berkata, syarikat terbabit juga disaran menyediakan ruang kuarantin asas di asrama bagi memastikan kes di bawah pemantauan, kontak rapat dan kes positif boleh diasingkan.

“Syarikat juga perlu memastikan jumlah pekerja dalam setiap kenderaan pekerja di bawah 50 peratus kapasiti bagi memastikan penjarakan fizikal,” katanya.