Hati-hati bawa pemain ke Emirates

Odegaard
Odegaard
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta diingatkan agar lebih berhati-hati selain membuat ‘kerja rumah sebelum membawa masuk pemain tengah dari Norway, Martin Odegaard secara pinjaman daripada Real Madrid.

Menurut bekas penyerang The Gunners, Alan Smith, Arteta seharusnya telah mengkaji mengenai pemain berkenaan dari segala segi bagi memastikan kehadirannya berbaloi.

“Arteta diharap telah melakukan ‘kerja rumah’ sebelum memutuskan untuk membawa masuk Odegaard.

“Walaupun hanya sebagai pemain pinjaman, kita tidak mahu insiden memalukan seperti ketika Arsenal membawa masuk Denis Suarez sebelum ini.

“Berdasarkan pengetahuan saya, Odegaard seorang pemain yang berpotensi tetapi ketika ini dia sedang berdepan masalah prestasi di Real Madrid dan disebabkan perkara berkenaan saya menggesa Arteta untuk membuat lebih ‘kajian’ sebelum membawanya ke Emirates,” katanya.

Sebelum ini, Arsenal pernah membawa masuk Dennis Suarez dari Barcelona secara pinjaman pada musim 2019; namun agak malang apabila Suarez hanya membuat enam penampilan akibat mengalami masalah kecederaan belakang.

Selain itu, skuad The Gunners itu turut memiliki seorang lagi pemain pinjaman daripada Real Madrid, Dani Ceballos yang kini sudah memasuki tahun kedua di Emirates.

Sementara itu Smith berharap agar Odegaard dapat membuktikan kehadirannya ke Emirates berbaloi dengan membantu Arsenal untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Arsenal baru sahaja tersingkir daripada saingan Piala FA Inggeris baru-baru ini dan diharapkan dengan kehadiran Odegaard, mereka mampu untuk menyerlah pula dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya.