DBKL selamatkan 140 gelandangan, pindahkan ke PSG

Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas para gelandangan ketika Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri Satu 2021 di sekitar ibu kota pagi tadi. Golongan gelandangan yang tidak bergejala akan di hantar ke Pusat Sementara Gelandangan (PSG) di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Setiawangsa selama sebulan bermula esok. - Foto Bernama
Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas para gelandangan ketika Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri Satu 2021 di sekitar ibu kota pagi tadi. Golongan gelandangan yang tidak bergejala akan di hantar ke Pusat Sementara Gelandangan (PSG) di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Setiawangsa selama sebulan bermula esok. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 140 gelandangan dipindahkan ke Pusat Sementara Gelandangan (PSG) menerusi satu operasi menyelamat yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi berkaitan pada Sabtu.

Menerusi kemaskini di laman Facebook, DBKL berkata, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, pihaknya sekali lagi turun padang bagi menyelamatkan golongan gelandangan untuk ditempatkan di PSG.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, semua gelandangan turut menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum dihantar ke PSG bersesuaian.

"Terdapat dua PSG disediakan bagi menempatkan gelandangan ini iaitu di Sentul Perdana dan Setiawangsa," kata kenyataan tersebut.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

DBKL berkata, gelandangan yang diselamatkan itu akan ditempatkan di PSG terlibat sehingga akhir Februari ini.

Selepas itu, katanya, gelandang berkenaan akan dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa pada awal Mac ini untuk dibantu bagi mendapatkan pekerjaan.

"Di sini mereka akan diberi latihan kemahiran agar mudah untuk mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan dirancang ialah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, DBKL memaklumkan bahawa satu program tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan itu menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Katanya, sistem pengagihan makanan pada masa kini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan dan meninggalkan kesan negatif dalam pengurusan perbandaran.

"Satu pendekatan strategik akan dicari dengan mendapatkan kerjasama NGO dan orang perseorangan yang menyumbang makanan ini," katanya.

-