Pemuda Pas Jerlun sumbang telefon pintar

Abdul Hadi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada seorang pelajar dalam Parlimen Jerlun pada Sabtu.
Abdul Hadi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada seorang pelajar dalam Parlimen Jerlun pada Sabtu.
A
A
A

JERLUN - Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan telefon pintar kepada beberapa pelajar yang kurang berkemampuan.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun, Abdul Hadi Omar berkata, program sumbangan itu merupakan usahasama di antara pihaknya bersama NGO Jerlun Care.

Menurutnya, sumbangan itu digerakkan setelah menerima aduan bahawa masih ramai lagi pelajar dalam Parlimen Jerlun yang mengalami masalah pembelajaran dalam talian di rumah akibat kekangan gajet.

"Ziarah kami ini juga secara tidak langsung dapat melihat sendiri kesusahan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana tidak memiliki gajet.

"Ada keluarga yang mempunyai enam beradik dan terpaksa berkongsi telefon ketika waktu pembelajaran malah lebih sedih lagi ada yang tiada langsung telefon untuk digunakan," katanya pada Sabtu.

Menurutnya, mereka berhasrat untuk meneruskan lagi sumbangan terbabit namun dana yang terkumpul ketika ini agak terbatas.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan sekiranya ada pihak atau orang perseorangan yang mahu menyalurkan sumbangan fasa kedua telefon pintar ini. Mereka boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 552068512164 atas nama Pertubuhan Penyayang Jerlun (Jerlun Care).

"Semoga usaha murni ini dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dari arus pembelajaran secara digital masa kini berikutan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: