'Jangan buka pekung masalah dalaman parti'

Najmil Faiz
Najmil Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemimpin UMNO perlu kekal teguh dan tidak menyalahkan antara satu sama lain sehingga membuka pekung masalah dalaman parti.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, apa yang lebih penting ialah mereka tidak seharusnya memberi peluru kepada pihak lawan untuk menembak parti.

Menurutnya, jika masih bertelagah rakyat akan bertambah muak dengan politik dan lebih teruk, mereka akan menolak UMNO.

"Kita dalam bahtera yang sama. Tanggungjawab dan destinasi kita juga adalah sama.

"Jadi sebarang isu yang timbul kita perlu bincang secara tertutup dan tidak menghebohkan kepada umum. Jika tidak, UMNO juga yang akan rugi nanti.

"Selesaikan masalah dalaman secara kekeluargaan seperti yang disarankan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini lebih baik daripada terus menyimbah minyak ke api," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Dr Najmil Faiz, selaku ahli parti, mereka seharusnya menjaga institusi presiden dan memberikan kepercayaan kepada presiden parti dalam menjalankan tugasnya seperti biasa.

Katanya, jika merasakan mereka sendiri layak menjadi presiden atau tidak berpuas hati, maka gunakan saluran yang betul untuk menyampaikannya dan bukan bertelagah secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Sampai waktu pemilihan UMNO nanti, bertanding lah sebagai presiden biar perwakilan yang membuat keputusan.

"Ini adalah masa untuk kita mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

"Fokus pada masalah rakyat kerana ramai yang tengah tertekan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ada yang terpaksa bergadai harta benda untuk terus hidup. Jadi kita kena kekal teguh, demi rakyat," katanya.