X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan selesai masalah liputan komunikasi Pulau Aman

Zairil dan beberapa pegawai SKMM membuat lawatan ke Pulau Aman untuk mengenalpasti masalah liputan internet di perkampungan tersebut.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan beberapa cadangan jangka pendek bagi menyelesaikan masalah liputan telekomunikasi yang dihadapi kira-kira 250 penduduk kampung di Pulau Aman, Batu Kawan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, antara cadangan itu ialah mengoptimumkan infrastruktur telekomunikasi dan mempertimbangkan usaha pemasangan peranti seperti 'repeater' yang dapat meluaskan kawasan liputan.

"Kita sudah mengadakan lawatan untuk mengenal pasti lokasi di Pulau Aman yang menghadapi masalah liputan internet malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan kajian terperinci untuk menyelesaikan masalah itu.

"Bagi penyelesaian jangka masa panjang, SKMM akan mempertimbangkan pemasangan infrastruktur telekomunikasi baharu di kawasan terjejas. Bagaimanapun, perkara itu perlu dibincangkan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, pada Sabtu, Zairil bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta pegawai SKMM membuat lawatan ke Pulau Aman bagi mengenalpasti masalah liputan internet di perkampungan nelayan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan, pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar seperti di Kampung Pulau Aman dekat Batu Kawan, gusar sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam talian terjejas berikutan capaian internet yang terhad di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Aman Saidi Abd Majid berkata, masalah liputan telekomunikasi di kampung itu sudah lama dialami oleh pelajar dan sekitar 250 penduduk di situ.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!