Peperiksaan SPM, STPM 2020 tidak wajar ditangguhkan

Gambar hiasan. Gambar kecil Normala
Gambar hiasan. Gambar kecil Normala
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2020 tidak wajar ditangguhkan lagi dan harus diteruskan sebagaimana yang dijadualkan.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, kedua-dua peperiksaan itu perlu diteruskan dengan langkah pencegahan, penguatkuasaan dan kewaspadaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, berkemungkinan SOP khusus daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut diperlukan.

"Ini memandangkan calon peperiksaan SPM dan STPM telah menunggu sejak tahun lalu untuk mengambil peperiksaan ikhtisas ini. Ini termasuk mengambil kira kesan psikologi calon SPM dan STPM yang tinggal di asrama atau pusat pengajian tahfiz termasuk calon persendirian.

"Kita perlu mengambil kira sudut emosi dan tekanan dilalui pelajar, guru dan ibu bapa yang menunggu sekian lama. Pendidik berpendapat calon, warga pendidik dan ibu bapa sudah cukup bersedia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pada masa sama persiapan bahagian peperiksaan Kementerian Pendidikan sudah lama dilakukan dan menunggu masa sahaja.

"Jadi, penangguhan peperiksaan SPM dan STPM akan memberi kesan bukan sahaja terhadap operasi sistem pendidikan tetapi membawa implikasi kepada takwim kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam atau luar negara," katanya.

Bagi calon yang tidak dapat menduduki dua peperiksaan itu katanya, mereka boleh mengambil peperiksaan gantian ditadbir dan diselaras Kementerian Pendidikan mengikut SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan sahaja melibatkan peperiksaan SPM dan STPM tetapi juga Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan lain yang sama penting dengannya," katanya.

Mengulas lanjut, Normala berkata, bagi calon SPM dan STPM tahun 2021 pula, perancangan baharu secara holistik perlu difikirkan bermula dari sekarang dengan mengambil kira kajian dan pandangan tokoh akademik serta pihak yang berautoriti dalam melaksanakan mekanisme terbaik.

Usaha tersebut katanya, supaya proses pembelajaran dapat diteruskan meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19 masih melanda.

"Mungkin penilaian lain untuk masuk universiti selain melalui tiket peperiksaan SPM boleh difikirkan Kementerian Pendidikan," katanya.