Penantian lapan tahun berakhir

Blok-blok kediaman di Taman Seri Molek, Johor Bahru yang sedang disiapkan Hong Xin Group setelah terbengkalai selama lapan tahun di bawah pemaju terdahulu.
Blok-blok kediaman di Taman Seri Molek, Johor Bahru yang sedang disiapkan Hong Xin Group setelah terbengkalai selama lapan tahun di bawah pemaju terdahulu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penantian 160 pembeli rumah di Taman Seri Molek Perdana di sini berakhir apabila bakal menerima kunci tidak lama lagi.

Mereka yang membeli rumah di blok F taman tersebut kini boleh menarik nafas lega selepas projek yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu akibat masalah pemaju dan kontraktor terdahulu akhirnya dapat disiapkan.

Pembeli di blok terbabit bakal menerima kunci selepas mereka mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 15 Disember lalu manakala 774 lagi pemilik yang membeli rumah di blok A, B, C, D dan E masih tidak memperoleh kunci kerana kediaman mereka belum mendapat CCC.

Seorang pembeli di blok F, Gan Kwee Geok, 51, menganggap berita gembira itu sebagai hadiah tahun baharu selepas lapan tahun menanti untuk menduduki kediaman pertamanya yang dibeli pada akhir 2012.

Dia yang merupakan ejen sebuah syarikat insurans berkata, sepanjang tempoh terbengkalai, dia terpaksa berpindah-randah dengan menyewa rumah sebanyak tujuh kali di kawasan sekitar.

"Saya seorang ibu tunggal, dua anak saya terpaksa dijaga ibu dan nenek kerana saya kerap berpindah rumah sewa. Memang terbeban kerana sepanjang lapan tahun saya sudah pindah tujuh rumah sewa.

"Dalam tempoh itu juga saya perlu membayar interest (kadar bunga) RM250 sebulan, sepanjang lapan tahun rumah terbengkalai saya sudah bayar RM30,000 interest sahaja," katanya pada sidang akbar bersama pemaju Hong Xin Group di taman itu pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Cai Tung (kanan) dan Kwee Geok (tengah) bersama-sama Kok Yee melihat kediaman blok F yang sudah siap dan mendapat CCC di Taman Seri Molek, Johor Bahru pada Sabtu.
Cai Tung (kanan) dan Kwee Geok (tengah) bersama-sama Kok Yee melihat kediaman blok F yang sudah siap dan mendapat CCC di Taman Seri Molek, Johor Bahru pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung dan Pengerusi Hong Xin Group, Low Kok Yee.

Kwee Geok berkata, dalam tempoh tersebut anak-anaknya sering bertanya bila mereka akan pindah ke rumah baharu kerana sudah lama menantikannya.

Pembeli lain, Wilson Wong, 35, berkata, dia terpaksa pulang ke kampung di Pulau Pinang selepas berhenti kerja di Singapura akibat pandemik Covid-19.

Katanya, dia tidak mampu untuk membayar sewa rumah selepas berhenti kerja dan menanti terlalu lama rumah yang dibeli di blok B siap.

"Saya beli ketika bekerja di Singapura. Terlalu lama menunggu untuk duduk di rumah yang dibeli di Taman Seri Molek Perdana. Jadi saya ambil keputusan pulang ke kampung.

"Sekiranya kediaman itu sudah dapat kunci dan boleh diduduki saya akan kembali ke Johor semula," katanya yang merupakan seorang peniaga.

Sementara itu, Cai Tung berkata, pemaju yang mengambil alih pembinaan rumah itu, Hong Xin Group berjaya menyiapkan projek yang terbengkalai selama lapan tahun.

Beliau berkata, blok-blok yang belum siap kini dalam pembinaan 94 peratus dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan lagi sebelum memperoleh CCC.

"Kami banyak menerima aduan masalah kelewatan siap projek perumahan ini. Blok F sudah mempunyai CCC namun saya dimaklumkan penyerahan kunci akan dilakukan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.