X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan buat spekulasi mengenai pertukaran Mohd Nazlan

Surat pertukaran Mohd Nazlan.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Peguam meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang tidak wajar mengenai pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke Mahkamah Sivil.

Presidennya, Salim Bashir berkata, ia termasuklah mengaitkan badan kehakiman dengan pengaruh politik atau pelbagai persepsi negatif yang lain.

Katanya, pertukaran Mohd Nazlan merupakan amalan biasa yang berlaku dalam pentadbiran badan kehakiman itu.

“Pertukaran ini tiada isu. Ini hanya melibatkan perkara pentadbiran sahaja.

“Kita kena faham bahawa sistem kehakiman kita bebas daripada mana-mana pengaruh politik. Kita kena faham benda itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Salim berkata, spekulasi tanpa bukti sahih adalah tidak wajar untuk badan kehakiman.

“Setiap hakim itu sama ada Mohd Nazlan atau pun hakim yang akan digantikan akan menilai setiap sesuatu kes itu berdasarkan fakta dan keterangan. Itu jelas,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam satu kenyataan mengesahkan pertukaran terbabit.

“Pertukaran Mohd Nazlan ke Mahkamah Sivil merupakan amalan biasa bagi mana-mana hakim,” katanya.

Menurutnya, pertukaran Mohd Nazlan ke Mahkamah Sivil adalah bagi menggantikan Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin yang akan bersara.

“PKPMP mengesahkan mengenai pertukaran Hakim Mohd Nazlan Mohd Mohd Ghazali dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCVC 2) berkuat kuasa 1 Mac 2021.

“Mohd Nazlan sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Komersial sebelum berpindah ke Mahkamah Tinggi Jenayah dan beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan kes sivil dan komersial.

“Selain itu, kes-kes di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 hanya tinggal lebih kurang dalam 30 kes sahaja dan mahkamah tersebut boleh ditutup,” katanya.

Menurutnya, sebarang kes jenayah yang telah didengar oleh Mohd Nazlan akan diterus didengar oleh beliau sehingga selesai, walaupun selepas tarikh kuat kuasa pertukaran pada 1 Mac nanti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!