X

Kindly register in order to view this article
!

Gasma semarakkan kempen Sinar Rasuah Busters

Dr Abdullah Yasin
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma) turut bersama-sama menyemarakkan kempen Sinar Rasuah Busters bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjauhi perbuatan rasuah yang ditegah agama.

Pengerusi Syura Gasma, Dr Abdullah Yasin berkata, pihaknya akan memainkan peranan dengan berkongsi hasil penulisan berkaitan rasuah yang akan disiarkan akhbar Sinar Harian secara bersiri.

"Rasuah yang berlaku di negara ini sudah sampai ke peringkat yang membimbangkan.

"Bahaya rasuah bukan kecil sebab ia melibatkan negara, negara boleh runtuh. Disebabkan rasuah juga banyak perkara menjadi tergendala, harga menjadi naik, integriti hancur dan pentadbiran menjadi kacau bilau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Facebook Live bersama beliau yang bertajuk 'Jangan Khianat Kepada ALLAH dan Rasul'.

Dr Abdullah berkata, menerusi kempen Rasuah Busters itu Sinar Harian memberi ruang kepada golongan agamawan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat mengenai bahaya rasuah.

Mengulas lanjut, menurutnya, agama telah menetapkan bahawa rezeki yang dicari umat Islam mestilah dari sumber yang halal.

Katanya, dalam rezeki dan harta yang diperoleh itu pula mesti dikeluarkan sebahagiannya untuk golongan yang berhak seperti fakir miskin dan sebagainya.

"Di sinilah kadang-kadang terdapat manusia yang tidak lulus dalam ujian ketika mencari rezeki. Demi mencapai kehidupan mewah, dia tidak mahu lagi terikat dengan panduan agama dengan berani menipu, mencuri dan melakukan rasuah," katanya.

Justeru itu, katanya, Gasma menyokong dan mengambil bahagian dalam kempen Sinar Rasuah Busters yang dicetuskan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Katanya, kempen itu menunjukkan usaha Sinar Harian yang sangat gigih untuk memerangi rasuah.

Pada 16 Januari lalu, Dr Hussamuddin melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarektorNilaiMoral Bangsa dan mengumumkan penubuhan pasukan Sinar Rasuah Busters.

Sinar Rasuah Busters itu sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!