Alam musnah kerana ketamakan manusia

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman
A
A
A

[MUKADIMAH] Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu tindakan lebih tegas terhadap pihak yang melakukan jenayah alam sekitar.

Menurut Presidennya, Meenakshi Raman, jika seseorang membunuh orang lain menggunakan racun dianggap satu jenayah yang serius, begitulah juga halnya dengan alam sekitar.

"Kita harus mengambil pendekatan yang sama dalam keadaan di mana udara dan air kita diracuni atau sumber alam kita dinoda dengan rakus," tegas beliau.

Ikuti wawancara penuh Meenashi bersama Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Ahad, Junhairi Alyasa baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimana puan melihat isu-isu alam sekitar yang menggemparkan di negara ini?

MEENAKSHI: Terdapat banyak isu alam sekitar yang timbul baru-baru ini seperti pencemaran sungai yang mengakibatkan gangguan air di Selangor, masalah kesihatan dalam kalangan penduduk Sungai Kim Kim di Johor; pembalakan hutan yang merosakkan kawasan tadahan air; projek-projek tambak pantai yang merosakkan sumber laut; masalah pembuangan plastik; dan kilang-kilang yang mengeluarkan sisa toksik dan bahaya yang susah dilupuskan.

Apa yang didedahkan adalah bahawa model ekonomi dan pembangunan kita sekarang tidak mampan dengan akibat-akibat negatif bukan hanya kepada kualiti hidup kita tetapi mengancam kewujudan kita di bumi.

Sudah terlalu lama kita mendengar mantera popular yang mengatakan "kita akan mempunyai pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar, dan akan meneruskan pembangunan yang mampan" tetapi realitinya, masih banyak yang harus dilakukan untuk memperbaiki haluan sekarang.

Artikel Berkaitan:

- Apakah aduan-aduan yang sering diterima oleh SAM atau apakah isu-isu yang sering dibangkit terutama melibatkan isu alam sekitar?

Pihak kami sering menerima aduan daripada masyarakat tempatan termasuk orang asal, para nelayan dan penduduk berhampiran dengan kilang-kilang berhubung dengan masalah pencemaran udara dan air, pembalakan dan kerosakan sumber alam.

- Adakah puan merasakan kerajaan mengambil berat tentang usaha-usaha untuk melindungi alam sekitar?

Kerajaan Pusat boleh dikatakan mengambil berat tentang usaha-usaha untuk melindungi alam sekitar, tetapi kuasanya terbatas kerana banyak masalah alam sekitar berpunca daripada perancangan-perancangan yang dibuat di peringkat kerajaan negeri terutamanya dalam bidang hutan, kegunaan tanah dan sumber galian.

Kerajaan tempatan juga mempunyai kuasa yang besar dalam isu-isu perancangan, termasuk pemberian kebenaran merancang bagi kerja-kerja pembangunan serta penempatan kilang-kilang dan sebagainya.

Jadi, corak pengurusan alam sekitar di peringkat pusat boleh dikatakan menangani kesan sampingan kepada alam sekitar daripada pembangunan tertentu. Ia bukan mencegah atau menahan rancangan-rancangan tertentu demi menjamin kelestarian alam, terutamanya di kawasan-kawasan yang sensitif alam sekitar serta ekologinya.

Ada projek-projek tertentu yang memerlukan kelulusan laporan kesan alam sekitar daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) sebelum ia boleh dimulakan.

Kaedah penggunaan EIA ini adalah kurang efektif dan lemah, kerana biasanya JAS meluluskan projek-projek tersebut akibat desakan daripada kerajaan negeri atau pihak-pihak lain. Tambahan pula, EIA ini hanyalah untuk penilaian impak sesuatu projek di kawasan yang terhad dan tidak mengambil kira keadaan alam sekitar atau ekosistem yang lebih menyeluruh. Ini merupakan suatu kelemahan yang amat besar dari segi pendekatan EIA tersebut.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang berusaha untuk memperbaiki undang-undang alam sekitar dan pihak kami berharap bahawa kelemahan-kelemahan ini dapat di atasi dengan seberapa segera.

- Masalah alam sekitar seringkali dikaitkan dengan kerakusan manusia untuk mengejar kesenangan tanpa memikirkan kesan terhadap alam. Adakah puan melihat sikap buruk itu begitu serius di negara ini ?

Sikap buruk ini memanglah berleluasa, kerana ramai pihak bersikap hendak cepat kaya dan tidak mementingkan masa depan generasi yang akan datang.

Alam itu dilihat sebagai sumber kekayaan, misalnya dengan pembalakan untuk kayu balak dan bukan dilihat sebagai hutan yang memainkan fungsi-fungsi ekologi yang berbagai untuk kesejahteraan hidup.

Sama juga dengan sungai-sungai atau laut di mana sisa-sisa buangan dicampak dengan mudah-mudahnya, demi untuk mencari keuntungan cepat, daripada mengambil kira kepentingan sungai itu sebagai sumber air untuk minuman dan kehidupan harian.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berinteraksi dengan orang ramai
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berinteraksi dengan orang ramai

- Baru-baru ini berlaku banjir besar, ada pihak mengatakan ia berpunca daripada taburan hujan yang tinggi, tetapi ada sesetengah pihak melihat ia berlaku kerana penerokaan hutan secara tidak terkawal. Apa pandangan puan mengenainya?

Kita harus sedar bahawa perubahan iklim sudah berlaku dan melanda merata dunia termasuk negara kita. Ini bermaksud bahawa intensiti dan kekerapan (frequency) taburan hujan akan berubah dan akan menjadi lebih tinggi pada masa-masa tertentu, dan ini akan mengakibatkan kejadian banjir yang lebih rumit dan serius daripada biasa.

Pada masa yang sama, perubahan iklim juga akan mengakibatkan taburan hujan yang akan berkurangan dan ini akan mengakibatkan musim kemarau yang lebih kerap, seperti yang pernah berlaku di kawasan utara di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang pada tahun lalu, sehingga air di empangan-empangan amat kurang dan jelapang padi kita dilanda kemarau yang teruk manakala para petani mengalami kerugian yang lebih tinggi.

Jadi, dalam keadaan fenomena perubahan iklim ini, kalau kita tidak mengambil langkah-langkah untuk membina daya ketahanan iklim di negeri-negeri ini dalam menampung taburan hujan yang tinggi, dan sebaliknya meneruskan pembalakan yang berleluasa, maka keadaan banjir akan menjadi lebih teruk lagi.

Pembinaan daya ketahanan tanah-tanah kita daripada kesan-kesan perubahan iklim adalah amat diperlukan, dan ini dapat dilakukan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan-hutan kita, termasuk tanah lembap (wetlands) dan kawasan hutan bakau.

Kami berpendapat bahawa banyak pihak berkuasa kita yang jahil atau kurang ambil berat tentang isu perubahan iklim ini.

Mereka bersikap business-as-usual atau berkerja seperti biasa tanpa mengambil berat tentang kesan-kesan perubahan iklim dan tidak membuat perancangan yang berpandangan jauh. Ini adalah suatu sikap yang bahaya dan akan membawa keburukan pada masa depan dengan kerugian yang amat besar bukan saja kepada ekonomi kita, bahkan kepada nyawa dan harta-benda orang ramai.

- Sampai sampai bila hutan di negara ini mampu terus bertahan jika terus diteroka dengan sewenang-wenangnya?

Soalan ini bukan senang untuk dijawab. Kalau terus diteroka dengan sewenang-wenangnya, memang hutan kita tidak akan tahan lama.

Selain daripada sebanyak mana luas hutan yang dapat bertahan, kita juga harus memikirkan tentang mutu hutan-hutan itu sendiri.

Hutan di negara kita mungkin akan terus wujud, tetapi jika kebanyakannya dijadikan hutan pengeluaran untuk dibalak, kadar biodiversiti, fungsi ekologi dan kehidupan orang asal akan terus terancam.

Terutama sekali dengan perubahan iklim, bencana alam mungkin masih boleh berlaku dengan teruk, sementara sumber air kita akan terjejas.

Kita jangan memikirkan hutan itu hanya terdiri daripada pokok-pokok dan hidupan liar yang dapat dilihat.

Oleh itu, kesemua kerajaan negeri mesti faham betapa pentingnya baki hutan yang masih ada untuk diwartakan untuk fungsi perlindungan, untuk fungsi ekologinya dan kesejahteraan komuniti orang asal.

- Ada pihak mencadangkan supaya denda sebanyak RM10 juta dikenakan kepada pihak yang didapati kemusnahan alam sekitar. Apa pendirian puan tentang cadangan tersebut?

Denda RM10 juta memanglah lebih baik daripada denda yang remeh. Tetapi, bagi syarikat-syarikat yang besar, denda sebanyak ini bukanlah susah sangat, apabila mereka dapat keuntungan yang ratusan atau ribuan juta ringgit tiap-tiap bulan atau tahun.

Apa yang lebih penting adalah untuk menyenaraihitamkan syarikat-syarikat ini serta pengarah-pengarah mereka daripada menjalankan operasi mereka ataupun lain-lain operasi untuk beberapa tahun.

Tambahan pula, amatlah penting untuk mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap pengarah-pengarah utama syarikat tersebut untuk suatu masa yang panjang, supaya mereka tidak lagi melakukan kemusnahan alam sekitar.

Kalau seseorang memberi racun kepada orang lain dan orang itu menimpa kesakitan, tindakan seseorang itu dilihat sebagai jenayah yang serius. Kita harus mengambil pendekatan yang sama dalam keadaan di mana udara dan air kita diracuni atau sumber alam kita dinodai dengan rakus. Ini adalah jenayah alam sekitar kerana ramai orang akan menjadi mangsa kepada jenayah sebegini. Kita harus lebih tegas dalam kes-kes begini.

- Ada negeri yang terpaksa bergantung kepada pembalakan sebagai sumber pendapatan. Apakah alternatif lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap balak?

Terdapat banyak dana antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti Dana Iklim Hijau (Green Climate Fund), Dana Adaptasi (Adaptation Fund) dan Dana Perubahan Iklim yang Khas (Special Climate Change Fund) yang boleh diakses oleh kerajaan Pusat untuk memanfaat kerajaan-kerajaan negeri, demi memelihara hutan, biodiversiti dan menangani perubahan iklim.

Kerajaan Pusat harus bantu negeri-negeri yang kaya dengan hutannya dalam memberi sumbangan yang memadai supaya negeri-negeri tersebut tidak menjalankan pembalakan dan mewartakan hutan-hutan tersebut sebagai hutan simpan kekal untuk perlindungan.

Dalam masa yang sama, kerajaan Pusat harus menambahkan dana daripada sumber-sumber tempatan demi untuk tujuan ini.

Ini adalah kerana kerajaan Pusat telah menandatangani undang-undang antarabangsa seperti Perjanjian Paris (berkenaan perubahan iklim) serta Konvensyen Kepelbagaian Bio dan bertanggungjawab untuk memberi kesan kepada undang-undang antarabangsa ini. Kerajaan-kerajaan negeri pula harus membantu kerajaan Pusat untuk menghormati kewajipan-kewajipan antarabangsa kita.

Kalau dana-dana antarabangsa boleh diperoleh untuk tujuan tersebut, kita harus mengambil peluang ini bagi membantu negeri-negeri yang kaya dengan hutan dan biodiversiti supaya menggekalkannya demi kepentingan setiap rakyat negara ini, dan generasi masa depan.

Hentikanlah daripada merosakkan alam semula jadi kita, kerana ia adalah asas kehidupan kita.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman

- Apakah harapan puan pada masa depan mengenai usaha-usaha untuk melindungi alam sekitar di negara ini ?

Harapan kami adalah bahawa kesedaran tentang kepentingan alam sekitar dan perubahan iklim akan bertambah dalam kalangan rakyat serta pihak berkuasa dan pihak-pihak politik.

Apa yang diperlukan adalah komitmen transformasi melalui peralihan paradigma dalam sistem pengeluaran dan penggunaan yang tidak rasional masa ini, yang berdasarkan kepada pembangunan lestari tulen yang memenuhi imperatif ekonomi, persekitaran dan sosial.

Pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan lain-lain adalah penting tetapi harus seimbang dan berorientasikan keprihatinan terhadap alam sekitar.

Kita seharusnya tidak lagi melihat persekitaran dan ekologi sebagai isu sampingan tetapi harus menjadikan mereka aspek utama dalam membuat keputusan jika kita ingin menghindari malapetaka pada masa depani.


ANEKDOT


- Terkenang derita penduduk Bukit Merah akibat radiasi

Sebagai seorang peguam yang muda sekitar tahun 1983-84, saya sempat melihat bagaimana segolongan masyarakat di Bukit Merah, Ipoh, Perak mengalami penderitaan yang teruk akibat pencemaran radiasi dan sisa toksik yang datangnya daripada kilang yang mengeluarkan nadir bumi bernama Asian Rare Earth.

Saya pernah menemui ramai anak muda yang diracuni oleh pencemaran tersebut. Ada antara mereka yang meninggal dunia kerana kanser dan sebagainya.

Saya dan rakan-rakan saya membantu masyarakat ini untuk mengambil tindakan guaman terhadap kilang ini untuk menghentikan operasinya.

Kes mereka menjadi suatu kes alam sekitar yang terkenal di seluruh dunia, dan selepas lebih 10 tahun, kilang itu ditutup dan operasinya berhenti.

Bagaimanapun, sisa toksiknya yang ada radiasi yang berpanjangan, masih lagi disimpan di Bukit Kledang dekat Ipoh. Kes ini memberi inspirasi kepada saya untuk membantu masyarakat yang mengalami kesan daripada kerosakan alam sekitar.

- Tiada guna banyak wang tanpa udara yang nyaman

Kita tahu dan sedar bahawa tanpa air dan udara bersih, tanpa bumi yang hijau dan laut yang biru, serta alam yang penuh dengan kekayaan biodiversiti, apalah gunanya manusia hidup.

Kita boleh jadi kaya dengan banyak wang, tapi ia tidak bermakna tanpa kualiti hidup yang segar dan nyaman.

Tambahan pula, seperti yang dikatakan oleh Mahatma Gandhi, dunia ini penuh dengan sumber alam untuk menampung keperluan orang ramai tetapi ia tidak mencukupi untuk ketamakan segelintir.

Beliau juga ada seru bahawa ‘Kita seharusnya hidup sederhana, supaya orang lain juga boleh hidup. ‘Live simply so others can simply live.’

Jadi, seruan-seruan dan pengalaman hidup saya menjadi inspirasi untuk bersemangat tinggi demi untuk kesejahteraan mereka yang kurang mampu daripada kita dan demi kepentingan ibu pertiwi.

PROFIL

Meenakshi Raman

Tarikh Lahir - 7 Julai 1958

Kerjaya - Peguam

NGO

- Penasihat undang-undang Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

- Ketua Program Third World Network