Rasuah pegawai tinggi lebih parah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jenayah rasuah di Malaysia pada masa ini semakin parah apabila ia tidak lagi berlaku dalam kalangan pegawai-pegawai bawahan, sebaliknya turut melibatkan pegawai tertinggi kerajaan dan swasta.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, masalah itu begitu ketara ketika ini apabila pemimpin politik juga terlibat dengan amalan rasuah.

Beliau berkata, apabila jenayah itu berleluasa di semua peringkat, ia menjadikan keseluruhan jentera kerajaan dalam landasan merugikan.

“Kita ambil contoh negara Greece dan Hong Kong yang kerajaannya runtuh disebabkan rasuah berleluasa serta gagal dikawal. Kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia.

“Untuk memastikan rasuah ini dapat dibanteras, kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek perlu dilakukan di semua peringkat atasan dan bawah, tidak kira ke atas penjawat awam mahupun kakitangan swasta,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Selain itu, beliau berkata, mekanisme lain yang boleh digunakan adalah pemberian input pandangan oleh pihak-pihak yang berada dalam bidang swasta berkaitan pencegahan rasuah.

Menurutnya, badan pencegahan rasuah terutama di bahagian sektor penyelidikan juga boleh membantu dari segi memberi penerangan dan pendidikan mengenai salah laku jenayah rasuah itu.

“Kita tahu banyak maklumat dan pendedahan mengenai rasuah dilaporkan di media tapi ia dilihat masih tidak mencukupi dan tidak sampai secara menyeluruh kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, penguatkuasaan undang-undang terhadap kes salah laku rasuah juga perlu dipertingkatkan dan tidak boleh ada pilih bulu dalam pelaksanaannya jika mahu capai sifar rasuah,” katanya.

Tambah Shahul Hamid, kerajaan juga perlu melihat semula polisi mereka terutama dalam aspek pembahagian tender, kemasukan pekerja asing yang terlalu ramai dan sebagainya.

“Dari segi prosedur permohonan serta kerenah birokrasi perlu dikurangkan.

“Apabila ada terlalu banyak syarat yang menyusahkan, ia menjadi salah satu punca berlakunya rasuah kerana ramai yang akan membuat jalan pintas untuk memudahkan proses kelulusan. Perkara-perkara ini harus diteliti semula,” katanya.

Mengulas inisiatif kempen Sinar Rasuah Busters yang digerakkan Sinar Harian bagi mengajak orang ramai bangkit membanteras rasuah, Shahul Hamid berkata, ia merupakan tindakan yang wajar dipuji.

“Syabas kerana melakukan provokasi ke atas perasuah dan tindakan ini adalah satu usaha ke arah memastikan negara ini sifar rasuah,” katanya.