Beri penerangan berkala tentang PdPR elak persepsi salah

Mohamad Ali
Mohamad Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi penerangan serta penjelasan secara berkala berhubung garis panduan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada ibu bapa serta guru.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ia amat penting bagi memastikan ibu bapa khususnya tidak memberi persepsi salah berhubung penggunaan kaedah PDPR.

“Ketika ini, ibu bapa ramai beranggapan PdPR adalah pembelajaran di rumah berasaskan dalam talian sahaja, jadi ramai yang merungut apabila mempunyai kekangan untuk akses internet dan tiada komputer.

“Sedangkan sebenarnya PdPR itu ada pelbagai kaedah lain yang boleh digunakan selain dalam talian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu pada Jumaat, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim memaklumkan PdPR tidak hanya terbatas kepada pembelajaran dalam talian sebaliknya ia juga boleh dilakukan secara luar talian termasuk melibatkan kaedah TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, oleh itu pemakluman khusus mengenai pengajaran PdPR perlu dibuat dari masa ke masa supaya ibu bapa faham tentang masa, suasana dan kepelbagaian kaedah yang digunakan.

“Kita berharap KPM atau ketua pengarah pelajaran dapat beri taklimat terperinci ini supaya bukan ibu bapa sahaja tetapi guru juga akan sentiasa ‘update’.

“Jika tiada penerangan berterusan, kita bimbang ibu bapa akan terus salah faham tentang PdPR ini dan akan terpengaruh dengan laporan negatif sama ada di media cetak, elektronik khususnya media sosial,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, jika keadaan itu berterusan bukan sahaja pelaksanaan PdPR tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, malah pelajar akan ketinggalan kerana tidak dapat menikmati pembelajaran tersebut.

Sementara itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong sepenuhnya penjelasan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abd Rahim bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya terbatas kepada pembelajaran dalam talian semata-mata.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, apa yang disebut oleh Habibah ada asasnya dan itulah yang sepatutnya difahami oleh semua pihak khususnya guru, ibu bapa dan murid.

Beliau berkata, asasnya PdPR bermaksud proses pengajaran dan pembelajaran itu berlaku di rumah dengan pelbagai medium pembelajaran sama ada secara dalam talian atau luar talian.Menurutnya, di sini kreativiti guru amat penting untuk memastikan proses pembelajaran berjalan mengikut kesesuaian murid dengan mengambil kira lokaliti dan tahap murid.

“Ada lokaliti yang mendapat akses capaian yang baik, ada yang mempunyai cukup kemudahan pemilikan alat peranti dan ada yang terpaksa berkongsi dan sebagainya.

“Jadi guru perlu kreatif dan tahu masalah murid dan memilih bentuk pengajaran PdPR yang sesuai,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.Mohd Azizee berkata, PdPR boleh berlaku secara dalam talian (online) menerusi aplikasi contohnya seperti Google Meet, Zoom, manakala secara offline (luar talian) seperti penggunaan Google Classroom, WhatsApp, Telegram, rakaman video, link video atau YouTube.

“Selain itu, ada juga kaedah PdPR dipanggil offsite, di mana guru menyediakan bahan dan menghantar ke rumah murid atau guru menyediakan bahan dan kemudian meletakkannya di pondok/sekolah untuk diambil murid atau ibu bapa.

“Dalam PdPR, apa yang penting adalah kreativiti guru, komunikasi dua hala guru dan murid serta kesediaan murid untuk belajar. Semuanya penting bagi memastikan proses pembelajaran terus berjalan,” katanya.