Utamakan subjek penting dalam PdPR

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu memberi keutamaan kepada subjek yang penting dan sukar difahami oleh pelajar.

Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Profesor Ts Dr Faaizah Shahbodin berkata, bukan semua topik perlu diajar secara serentak dan masa nyata (synchronous).

Menurutnya, pertimbangan tersebut dapat mengurangkan pembelajaran secara dalam talian serta beban bagi keluarga yang kurang berkemampuan selain guru-guru juga tidak perlu memikirkan untuk menghabiskan silibus pelajaran.

“Kalau tajuk yang senang, pelajar boleh belajar sendiri. Saya rasa lebih baik tak perlu dibuat secara dalam talian. Perkara tersebut memerlukan internet yang tinggi bandwidth.

“Mungkin cikgu juga perlu selaraskan dan jangan terlalu memberikan banyak kerja sekolah hingga membebankan pelajar dan ibu bapa. Apa yang penting ialah kualiti pembelajaran bukannya kuantiti semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Dalam masa sama, Faaizah berkata, melalui kaedah terbabit pelajar masih boleh mendapat ilmu walaupun tiada jaringan internet dan gajet yang terkini.

Katanya, konsep pembelajaran kendiri (self directed learning) dan pendidikan yang lebih fleksibel perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian pelajar.

“Apa yang saya lihat, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni pun buat secara dalam talian. Memang saya faham ada banyak subjek tetapi janganlah dibuat semua serentak hingga membebankan anak-anak kita.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena ambil kira keperluan anak B40 yang tiada gajet dan kemudahan kondusif untuk belajar secara atas talian, pelajar boleh belajar sendiri berkaitan dengan subjek dan silibus yang mudah.

“Kita juga perlu melihat dan memberi keutamaan kepada kualiti pembelajaran, bukan kepada kuantiti sahaja. Tidak semestinya semua kursus kena ada animasi ataupun video dan sebagainya, sepatutnya yang memerlukan kompetensi tahap tinggi dari guru untuk menyediakan bahan, jadi berpada-padalah,” katanya.

Kok Seong
Kok Seong

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong pula berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai digalakkan untuk memberi sumbangan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Katanya, NGO dan rakyat boleh memberikan bantuan dari segi kewangan untuk meringankan beban ibu bapa daripada keluarga B40 dan M40 dengan mewujudkan satu tabung khas untuk menderma serta menggunakan wang tersebut untuk membeli alatan keperluan.

“Rakyat boleh memberikan bantuan kewangan, maksudnya mengutip derma. Kalau yang berkemampuan itu kalau boleh salurkan lebih dan kalau dikutip saya kira banyak juga jumlahnya.

“Saya kira kalau seorang bagi RM10 atau RM5, satu Malaysia akan dapat jumlah yang besar juga. Mungkin dalam RM10 juta. Derma tersebut sudah boleh membeli banyak peranti yang boleh diberi percuma kepada murid B40 dan M40,” katanya.

Menurutnya, KPM juga perlu berikhtiar sebaik mungkin untuk mewujudkan liputan internet di semua kawasan kerana pendidikan berbentuk dalam talian memerlukan liputan yang baik dan mencukupi.