X

Kindly register in order to view this article
!

Mandat dan darurat, di mana rakyat?

A
A

SELURUH Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali Sarawak susulan peningkatan kes Covid-19. Pemasyhuran proklamasi darurat di bawah Perkara 150 (8) selang sehari selepas PKP menjadi perdebatan. Ada suara menyokong, ada suara membantah.

Sejak Mac 2020, apabila PKP mengambil tempat, usaha kerajaan dan pihak berwajib secara berterusan adalah untuk melandaikan keluk kes berjangkit dan kematian. Namun, ada pihak mengambil sikap sambil lewa seolah-olah ia tanggungjawab barisan hada-pan semata-mata.

Apabila gagal ditangani melalui PKP, maka darurat diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk melengkapi PKP agar penguatkuasaan undang-undang ordinan dan peraturan lebih ketat akan membantu meredakan kerisauan ke atas nyawa, ekonomi dan keselamatan kesihatan.

Adakah aktiviti berpolitik turut divaksinkan sepanjang tempoh itu? Walaupun masing-masing berusaha mengurangkan bebanan tanggungan dan mencari mata pencarian, ada pula yang tidak henti-henti berfoya dengan politik. Ramai ahli politik turut positif Covid-19 minggu ini. Masih ada yang tidak diketahui status mereka. Ke manakah hala tuju mereka dan di manakah rakyat di mata pemimpin?

Mandat rakyat datang daripada pelbagai cara. Satunya, Pilihan Raya Umum (PRU) dan waktu yang sama Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa prerogatif dalam pelantikan Perdana Menteri serta pembubaran Parlimen.

Sesiapa sekalipun wajar menggarap pemahaman di sebalik yang terselindung di bawah perlembagaan, kerangka undang-undang tertinggi negara. Darurat tidak terkecuali.

Kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mesti diberi penghormatan kerana apabila terdesak, kita sering kembali ke istana mencari Seri Paduka Baginda. Tatkala itu, sembah derhaka atau sembah kasih raja?

Muhasabah

Tempoh masa PKP dan darurat boleh digunakan untuk bermuhasabah bagaimana memulihkan semula persepsi, aturan strategi dan jentera, kepimpinan dan kesiapsiagaan parti dalam mendepani masa depan politik tanahair yang bercampur-campur. Hampir kesemua parti politik berhadapan dengan kemelut yang sama – keyakinan dan kepercayaan ke atas kepimpinan termasuk parti pemerintah mahupun pembangkang.

Isu itu memerlukan pengamatan dan usaha berterusan bagi membawa kebangkitan baharu pasca-Covid-19. Persediaan kepimpinan dan parti akan membolehkan PRU di-adakan secepat mungkin tanpa berkompromi proses demokrasi, kebebasan dan hak mengundi.

Kajian yang dilakukan oleh saya dan beberapa penyelidik baru-baru ini menunjukkan majoriti responden berpendapat situasi politik hari ini berkepentingan diri, mengecewakan dan membimbangkan. Walaupun sebilangan tidak bersetuju sepenuhnya dengan pendekatan pihak berwajib tetapi mereka berasakan ini masanya untuk membawa kepada penyatuan rakyat, mengenal pasti cabaran dan memperbaharui instrumen dan kaedah mendekati pelbagai kumpulan sasar.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan sah sebelum darurat dimasyhur. Walaupun ada pendirian yang disuarakan melalui media, langkah lebih teliti perlu ditonjolkan sama ada pihak istana dimaklumkan dengan kesahihan maklumat berkepilkan dengan bukti Akaun Bersumpah (SD). Bersandarkan kepada sidang akhbar tidak membantu kerana langkah berlunaskan undang-undang wajib dihormati.

Hatta, demi rakyat, langkah lebih praktikal adalah mengganggotai Jawatankuasa Bebas untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong, memain peranan semak dan imbang dengan penggantungan fungsi Parlimen di bawah darurat.

Yang di-Pertuan Agong sendiri meminta diketepikan perbezaan politik dan utamakan barisan hadapan. Walau ada yang tersepit tanpa mengetahui sama ada perlu menyertainya atau tidak, buatlah yang terbaik untuk massa dan negara. Rakyat dan penyokong parti pasti merestuinya. Fikirkan apa yang terbaik untuk ‘rakyat’ jika kita mahu menang ujian Covid-19 dengan segera.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!