Akur sambutan Thaipusam dibatal

No Image Caption
A
A
A

SAMBUTAN perayaan Thaipusam 2021 seluruh Malaysia telah dibatalkan pada tahun ini. Pembatalan sambutan tahunan bagi masyarakat India khususnya penganut agama Hindu itu susulan pelaksa-naan semula Perintah Kawa-lan Pergerakan (PKP) akibat ancaman krisis pandemik Covid-19.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan PKP untuk tempoh 14 hari bermula 13 sehingga 26 Januari ini di enam buah negeri. Tempoh PKP itu kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 4 Februari di tujuh buah negeri.

Kini, Malaysia juga menyaksikan kenaikan drastik kes positif harian Covid-19 daripada tiga angka kepada empat angka, malah jumlah kumulatif kes juga telah mencecah sebanyak 176,180 kes.

Menghitung senario semasa di Malaysia, buat julung kali kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan perayaan Thaipusam dan sambutannya yang mendokong sejarah lebih 200 tahun di Malaysia.

Menurut akhbar harian Malaysia Nanban, masyarakat India terutama penganut agama Hindu setempat telah akur dan hormat kepada keputusan kerajaan itu.

Penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam sedar akan keperluan untuk membatalkan sambutan tersebut yang hanya untuk keselamatan dan kesihatan rakyat.

Sambutan perayaan Thaipusam 2021 yang disambut pada 28 Januari ini dijangka menerima kunjungan jutaan orang penganut di beberapa lokasi kuil yang popular, misalnya Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah serta Kuil Sri Maha Siva Muniswarar, Johor Bahru, Johor.

Kunjungan jutaan penganut Hindu di kuil-kuil tumpuan ramai tersebut kemungkinan besar sukar untuk dikawal mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Malaysia Nanban berkata, pembatalan sambutan Thaipusam itu telah menjejaskan punca pendapatan peniaga-peniaga India yang menjalankan variasi perniagaan sempena acara tahunan itu.

Malaysia Nanban telah terima aduan daripada sekumpulan peniaga menjual kelapa yang kesal dengan keputusan kerajaan kerana mereka terpaksa menanggung kos kerugian tempahan mencecah sebanyak RM80,000 hingga RM300,000.

Penjual-penjual berkenaan buat masa ini perlu mencari jalan alternatif untuk menjual stok kelapa yang telah ditempah sempena perayaan Thaipusam setahun yang lalu.

Sementara itu, Malaysia Nanban turut melaporkan bahawa baru-baru ini keputusan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membatalkan cuti sambutan perayaan Thaipusam di negeri itu telah mencetus kemarahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat India.

Akhbar harian itu menyifatkan tindakan figura politik itu bagaikan mencabar kedudukan masyarakat minoriti India dan menyentuh sensitiviti pegangan serta kepercayaan penganut agama Hindu.

Di Malaysia, Thaipusam merupakan cuti umum di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebaliknya Kedah menjadikannya sebagai cuti peristiwa.

Pembatalan sambutan perayaan Thaipusam itu sama sekali tidak mempengaruh mana-mana negeri lain untuk mengambil tindakan sehingga membatalkan cuti umum mahupun peristiwa itu.

Masyarakat India berasa tindakan Menteri Besar Kedah tidak releven bagi tampuk pemerintahan negara yang diduduki masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.

Jadi, masyarakat India berharap Menteri Besar Kedah mengubah pendirian tersendiri, sebaliknya berusaha mengekalkan agenda bersifat nasional daripada tampuk kepimpinan lampau untuk kebaikan bersama.

Sambutan perayaan Thaipusam pada tahun ini sungguhpun bersifat sederhana, apa yang penting adalah doa yang suci demi negara dan rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi daripada wabak Covid-19.