Larry King meninggal dunia

Larry King
Larry King
A
A
A

LOS ANGELES - Pengacara rancangan bual bicara terkemuka Amerika Syarikat (AS), Larry King meninggal dunia pada usia 87 tahun pada Sabtu.

Mendiang menghembuskan nafas terakhirnya di Cedars-Sinai Medical Centre di Los Angeles selepas bergelut dengan virus Covid-19.

Syarikat mendiang, Ora Media mengesahkan berita sedih itu menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam talian.

"Larry King telah meninggal dunia. Selama 63 tahun, Larry mengendalikan ribuan temu ramah di pelbagai platform radio, televisyen dan media digital.

"Mendiang memang berbakat dan unik sebagai seorang penyiar," kata Ora Media.

Awal bulan ini, sumber terdekat dengan keluarga King mengesahkan personaliti itu sudah lebih seminggu ditempatkan di hospital.

King yang disahkan menghidap diabetes tahap dua, dilaporkan mengalami siri masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, termasuk serangan jantung dan menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1987.

Pada 2017, King disahkan mengalami kanser paru-paru dan berjaya menjalani pembedahan bagi mengubati penyakit berkenaan, selain satu lagi prosedur pembedahan dua tahun kemudian bagi merungkai masalah angina (sakit dada).

Artikel Berkaitan:

Susulan pelbagai masalah kesihatan dialaminya, mendiang kemudian menubuhkan Yayasan Jantung Larry King untuk membantu golongan yang tidak mempunyai insurans kesihatan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

King menjadi hos rancangan bual bicara 'Larry King Live' di agensi berita, CNN selama 25 tahun yang antara lain menemu bual calon Presiden, selebriti, atlet, pelakon tersohor dan orang ramai.

King bersara pada 2010 selepas mengacarakan lebih 6,000 episod yang disiarkan secara langsung di rangkaian agensi berita CNN.

Persaraan ikon rancangan terkemuka itu tidak bertahan lama apabila beliau kembali menceburi industri, dua tahun kemudian, menerusi rancangan 'Larry King Now'.

Rancangan disiarkan tiga kali seminggu, menerusi Ora Tv, iaitu rangkaian saluran digital atas permintaan itu diasaskan secara bersama dengan pelopor industri telekomunikasi Mexico, Carlos Slim. - Agensi