Kritikan perlu setara, membina

A
A
A

KITA sering membaca pelbagai cemuhan dilemparkan terhadap institusi Islam apabila sesuatu berlaku dalam institusi tersebut. Ia digambarkan seperti keseluruhan institusi Islam itu bermasalah. Tidak dinafikan institusi Islam masih perlu secara inovasi membuat penambahbaikan dalam operasi peranan dan fungsi mereka, namun mengherdik mereka secara keterlaluan tidaklah akan mendatangkan kebaikan.

Seharusnya bantuan diberikan kepada institusi Islam bagi memastikan mereka dapat berfungsi dengan cemerlang tetapi apa yang berlaku, mereka mahu institusi Islam dihapuskan, dihukum atau dikekang daripada memberi perkhidmatan.

Ironinya, apabila institusi yang tidak berjenama Islam, ramai yang boleh berkompromi dan tidak kurang yang membela atas alasan bukan semuanya tidak baik. Persoalannya, kenapakah sikap berbeza itu diambil oleh golongan tersebut? Apakah mereka mempunyai agenda tersendiri? Adakah sekiranya suatu institusi yang mempunyai kaitan dengan agama Islam hendaklah dihapuskan dalam apa juga keadaan dan institusi yang tiada nama Islam dikekalkan?

Saranan yang sepatutnya adalah berkaitan penambahbaikan dan pelaksanaan yang betul dalam institusi pendidikan di Malaysia. Kita memerlukan anjakan paradigma dalam pendidikan yang mendidik jiwa dan mampu mengaplikasi ajaran agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan kita. Pendekatan berbentuk spiritual perlu digarap agar ia mencapai piawaian tinggi membalut keimanan seseorang.

Agensi kerajaan pula sama ada berjenama Islam atau tidak, mesti meletakkan Islam di tempat sewajarnya sebagaimana ruang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berbalik kepada reaksi sesetengah golongan yang berbeza di atas, saya memerhatikan golongan sebegini begitu pantas dan lantang memberi reaksi apabila berlaku kelemahan dalam mana-mana institusi agama Islam.

Carilah mana institusi yang tidak pernah dikritik oleh golongan tersebut, sudah pasti kita akan dapati semuanya pernah merasai kepahitan dikritik.

Bukanlah saya bermaksud langsung tidak boleh mengkritik institusi agama Islam tetapi jika kritikan itu dengan niat menjatuhkan atau menghapuskan institusi agama Islam, ia adalah sangat keterlaluan. Kritikan membina dengan solusi yang baik amat-amat dialukan.

Artikel Berkaitan:

Hak beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 bukan hanya mengabsahkan kebebasan beragama kepada golongan minoriti, malah ia juga menjunjung tinggi kebebasan mengamalkan agama bagi golongan majoriti. Malah, Perlembagaan Persekutuan memberi hak keistimewaan kepada agama Islam yang diletakkan bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan. Terdapat banyak implikasi undang-undang yang berbeza antara agama rasmi dan agama bagi Persekutuan.

Serangan

Golongan minoriti seperti itu malah ada dalam kalangan kaum majoriti juga, walaupun sedikit bilangannya, mereka menguasai media alternatif laman sosial dan ruang strategik. Oleh itu, amat mudah bagi mereka melancar ‘serangan’ terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan berbanding umat Islam arus perdana yang berdiam diri membisu dan mengharapkan orang lain yang memperjuangkan hak mereka. Umat Islam arus perdana perlu ubah sikap, bangkit memperjuangkan hak apabila ia dicalar. Ketepikan ideologi politik apabila ia melibatkan kesucian agama Islam.

Saban hari agama Islam dan institusinya dihina, namun sebahagian besar umat Islam masih alpa. Yang lebih menyedihkan apabila ada kalangan umat Islam yang bersekongkol dengan puak liberal dalam menjayakan misi mereka.

Sedihnya, sebahagian umat Islam masih belum mampu keluar daripada krisis politik yang dihadapi sekarang. Keladak perpecahan sudah mendap dan membeku. Marilah sama-sama kita mengikis keladak itu supaya umat Islam menjadi umat teladan dan cemerlang.

Bersama-sama kita membantu semua institusi Islam agar dapat bergerak dengan gah dan hebat. Setiap kelemahan dinilai secara objektif dan dicari punca serta cara mengatasinya. Jangan kita hanya mencerca tanpa membawa solusi penyelesaiannya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia