X

Kindly register in order to view this article
!

Hubungan luar AS di bawah Biden

A
A

JOSEPH Robinette Biden Jr lebih dikenali sebagai Joe Biden telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 pada 20 Januari 2021. Isu domestik menjadi keutamaan pentadbiran Biden, khasnya cabaran untuk membendung penularan Covid-19.

Cabaran seterusnya adalah untuk menyelamatkan ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19. Biden juga terpaksa berusaha menyatupadukan semula penduduk AS yang berpecah dari sudut politik dan kaum.

Dari segi dasar luar, AS tetap berhadapan cabaran semasa seperti proses damai di Timur Tengah, program senjata nuklear Korea Utara, persaingan dengan China dan Rusia. Pentadbiran Biden akan cuba memperkukuhkan semula kerjasama multilateral seperti menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Paris Agreement berhubung isu perubahan cuaca.

AS di bawah Biden juga dijangka memperbaiki hubungan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah serta sekutu di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Tujuannya adalah untuk membina semula keyakinan anggota NATO, Jepun dan Korea Selatan bahawa AS masih komited dalam pakatan. Pentadbiran Biden juga dijangka menghidupkan semula rundingan dengan Iran berhubung isu tenaga nuklear.

Semasa pentadbiran Donald Trump, hubungan AS dengan China telah terjejas teruk akibat isu perdagangan, dakwaan pengintipan, persaingan teknologi, penularan Covid-19, dasar China terhadap Hong Kong, Xinjiang dan Laut China Selatan. Biden pula dijangka lebih mengutamakan kaedah diplomasi daripada konfrantasi apabila berinteraksi dengan China. Namun, ia tidak bermakna AS akan mudah berkrompromi dengan China.

Trump kurang memberi tumpuan kepada Asia Tenggara dan ASEAN berbanding rantau lain. Ia dapat diperhatikan apabila jawatan Duta AS ke ASEAN telah dikosongkan dan tidak disi sejak Trump menjadi Presiden. Malah, Trump tidak pernah menghadiri East Asia Summit (EAS) dan hanya sekali menghadiri Persidangan AS-ASEAN sepanjang pentadbirannya.

Biden dijangka memperbaiki hubu-ngan AS dengan negara Asia Tenggara. AS kemungkinan besar mengembalikan semula Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang telah dipelopori Presiden Obama dan mendapat sokongan Biden ketika menjadi Timbalan Presiden.

Negara-negara di rantau Asia Tenggara pasti akan menyambut baik usaha Biden untuk mengurangkan ketegangan dengan China kerana permusuhan AS dengan China hanya merugikan negara Asia Tenggara yang mempunyai kerjasama ekonomi dengan China melalui Belt and Road Initiative (BRI).

Sewaktu pentadbiran Trump, hubu-ngan AS dan negara Asia Tenggara yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti Malaysia dan Indonesia terjejas akibat dasar AS dianggap tidak mesra Muslim seperti larangan kemasukan penduduk Muslim dari sesetengah negara Islam dan pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Justeru, Biden telah membatalkan dasar larangan itu sebaik mengambil alih jawatan Presiden.

Bagi Filipina yang pernah menjadi sekutu dan bekas koloni AS di Asia Tenggara, hubungan menjadi rumit kerana semasa pentadbiran Obama, AS sering mengkritik Presiden Rodrigo Duterte melanggar hak asasi manusia.

Hubungan AS-Filipina pulih apabila Trump memuji Duterte memerangi gejala narkotik. Cabaran hubungan AS-Filipina di bawah pentadbiran Biden adalah sejauh mana AS mampu menyakinkan Duterte supaya tidak meneruskan hasrat membatalkan Visiting Forces Agreement 1998 (VFA). Sekira Biden kembali kepada dasar Obama mengkritik Duterte atas isu hak asasi, besar kemungkinan hubungan AS dengan Filipina akan terus regang.

Biden juga dijangka memberi perhatian kepada Myanmar khasnya berkaitan isu proses pendemokrasian dan pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan penduduk minoriti. Biden mungkin mempertingkatkan kerjasama multilateral dengan ASEAN melalui Persidangan AS-ASEAN dan ASEAN Regional Forum (ARF). Hubungan AS dan rantau Asia Tenggara adalah aktif ketika pentadbiran Obama, namun merosot di bawah Trump. Pentadbiran baharu di bawah Biden berhadapan cabaran besar untuk mengaktifkan semula hubungan yang telah diabaikan itu.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!