X

Kindly register in order to view this article
!

Populariti Muhyiddin berakhir?

A
A

SEJAK sedekad lalu, politik negara sudah menjadi satu putaran ganas yang sukar dijangka dan boleh berubah sekelip mata. Tidak hairanlah populariti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merosot secara drastik berbanding beberapa bulan lalu.

Pada September 2020, Merdeka Center melaporkan hasil penyelidikan bahawa Muhyiddin mendapat kadar sokongan 69 peratus daripada respondan yang ditemu bual, manakala dalam kalangan respondan Melayu, beliau mendapat sokongan hampir 90 peratus.

Hasil penyelidikan itu sukar dinafikan kerana ia selari dengan tinjauan umum di pelbagai platfom media sosial. Pujian, sokongan dan panggilan mesra ‘abah’ menjadi trending (isu popular dan mendapat liputan meluas) di media sosial.

Populariti itu bersandar kepada keadaan politik dan pengurusan dasar awal pentadbiran Muhyiddin yang nyata menyentuh hati nurani rakyat. Muhyiddin yang mendapat sokongan parti-parti terbesar masyarakat bumiputera – UMNO, Pas dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dilihat sebagai penyelamat daripada keberantakan politik negara akibat perpecahan Pakatan Harapan (PH).

Dalam keadaan negara dilanda Covid-19, Muhyiddin muncul menstabilkan institusi politik dan memulakan pelan menyekat penularan pandemik yang sangat berkesan sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan antarabangsa. Dengan pelbagai bantuan sara hidup, kepantasan mematikan rantaian Covid-19 dan doa yang diaminkan seluruh negara, Muhyiddin bukan sahaja ‘abah’, malah menjadi harapan baharu kepada rakyat Malaysia.

Populariti itu nyata tidak bertahan lama apabila pasukan beliau gagal memahami sentimen rakyat dan menguruskan perseteruan politik dalam kerajaan. Walaupun belum ada kajian terbaharu, namun jika dilihat trending media sosial, pengaruh dan sokongan terhadap Muhyiddin mungkin tinggal sekitar 40 peratus sahaja.

Daripada panggilan ‘abah’ kini telah tersohor ejekan seperti ‘abahkau’, ‘abahcow’ dan hashtag ‘SiBodohKauDengarSini’. Apa yang telah berlaku?

Saya fikir kesilapan utama adalah pasukan Muhyiddin gagal memahami mereka datang daripada parti kecil yang tidak mempunyai cukup akar umbi bagi menguruskan persepsi. Mereka gagal menguruskan politik dalam kalangan sekutu yang membentuk kerajaan terutama dengan UMNO.

Benar, Muhyiddin boleh menunggang populariti beliau untuk mengimbangi pengaruh UMNO yang mempunyai 3.4 juta ahli kerana ahli UMNO hanya sekitar 10 peratus-20 peratus daripada jumlah pengundi. Malah, ahli UMNO boleh memberi sokongan kepada parti lawan sekiranya mereka berasakan pemimpin sedia ada tidak baik kepada negara.

Namun, naratif Muhyiddin mahu membunuh UMNO itu sudah dipercayai ramai ahli UMNO sekiranya mengambil kira isu Ketua Menteri Sabah, Menteri Besar Perak dan sikap agresif tidak bertempat sesetengah pemimpin Bersatu.

Kesilapan kedua, mereka tidak mempunyai idea jelas untuk mengambil hati rakyat dan mengurangkan beban politik. Desakan UMNO untuk kelulusan automatik pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga maksimum RM10,000 dan moratarium automatik selama enam bulan tidak ditangani dengan baik. Walaupun sebahagian rakyat memahami kenapa ia tidak dapat dilaksanakan, namun secara umumnya ramai yang melihat kegagalan memenuhi permintaan itu adalah manifestasi kegagalan memahami keperluan rakyat.

Pengumuman bantuan kewangan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baharu juga tidak mempunyai sebarang faktor ‘wow’ dan mengecewakan rakyat yang menunggu sesuatu yang ‘luar biasa’ bagi membantu mereka yang dalam kesukaran.

Mengulangi doa Muhyiddin dalam radio dan televisyen selama berbulan-bulan tidak menjadikan beliau kekal popular. Propaganda berulang-ulang juga menyebabkan orang muak. Pasukan Muhyiddin mungkin beranggapan populariti akan kekal lama dan menjadi lesen untuk berbuat sesuatu yang tidak popular demi kebaikan masa depan. Realitinya, Muhyiddin tiada kelebihan itu kerana beliau membentuk kerajaan yang rapuh.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!